Thursday, June 11, 2026
HomeHIBURANBoleh Guna AI, Tapi Jangan Curi Hak Orang Lain – Aepul Roza

Boleh Guna AI, Tapi Jangan Curi Hak Orang Lain – Aepul Roza

SERDANG – “Guna AI tak salah, tapi jangan curi hak orang lain.”

Demikian kata komposer dan penulis lirik, Aepul Roza apabila diminta mengulas tentang penggunaan teknologi kecerdasan buatan (A.I) dalam seni penggubahan lagu.

Bahkan, baru-baru ini lagu Cinta Tersimpul Rapi dendangan Anis Suraya versi AI yang diberi nafas baharu oleh pencipta kandungan, Jane In Heaven terpaksa diturunkan dari semua platform digital kerana menyalahi Akta Hak Cipta 1987.

Kata Aepul atau Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang dan sebagai pengkarya, dia terpanggil untuk memberi kesedaran tentang hak harta intelek kepada masyarakat.

“Boleh guna AI tetapi gunakan dengan rasa bertanggungjawab. Sebabnya sudah ada isu dengan lagu Cinta Tersimpul Rapi versi AI yang dikatakan lebih sedap didengar berbanding versi asal. Mungkin sedap kerana diberi nafas baharu sesuai dengan selera pendengar sekarang.

“Tetapi lagu itu terpaksa diturunkan kerana tidak mendapat kebenaran pencipta asal lagu itu. Saya tahu dia tidak berniat mencuri karya orang lain, cuma mungkin dia kurang faham tentang pemilikan hak cipta atau harta intelek.

“Dalam versi apa sekalipun, kita tidak boleh menidakkan hak cipta yang dimiliki komposer dan penulis asal. Saya ingin tegaskan, guna AI tidak salah, tapi tolong hormat dan jangan curi karya orang lain,” katanya yang ditemui pada Majlis Iftar Geng Drama Band di Astana Putra, Serdang, Selangor, semalam.

Vokalis Drama Band itu bagaimanapun tidak menolak penggunaan AI 100 peratus kerana beranggapan sebagai pengkarya, dia harus mengikuti perkembangan teknologi semasa supaya tidak jauh ketinggalan.

“Bukan mudah untuk cipta lagu, banyak prosesnya. Tetapi sekarang, hanya di hujung jari semua orang boleh cipta lagu.

“Saya galakkan untuk pengkarya dan pencipta kandungan terus menggunakan AI kerana kita tidak boleh sombong dan tidak boleh menolak teknologi. Cuma gunakan AI secara berhemah,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Harga Emas Jatuh Lagi, Susut RM20.50 Segram Dalam Sehari

0
PETALING JAYA – Harga emas terus menunjukkan trend penurunan apabila susut sebanyak RM20.50 kepada RM534.18 segram hari ini berbanding RM554.68 segram semalam. Penurunan tersebut merupakan...

CATEGORIES