KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA) bulan lalu, percaya kesan kecederaan pada dada dan mata kanan arwah adalah akibat pukulan objek tumpul.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata beliau juga percaya darah yang mengalir dari hidung dan tidak berhenti sehingga jasad anaknya dikebumikan, jelas menunjukkan bahawa arwah dipukul dan mengalami kecederaan di bahagian otak dan dada.
“Saya mengesahkan melihat kesan lebam dan kecederaan pada jasad anak terutama di leher, dada yang berdarah dan muka serta mata kanan dengan kesan lebam hitam,” katanya.
Wanita itu menjelaskan demikian dalam afidavit sokongan permohonan notis usul bagi perintah supaya kubur anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor pada 29 Julai lalu, digali semula untuk bedah siasat kedua, juga perintah mengarahkan Peguam Negara menjalankan inkues menyiasat punca kematian.
Beliau memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam supaya perintah itu dikeluarkan terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dinamakan sebagai responden serta pihak berkaitan.
Ummu Haiman turut memohon supaya pendengaran permohonan notis usul beliau disegerakan melalui perakuan oleh peguamnya, Datuk Naran Singh kerana percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anaknya apabila menerima pelbagai percanggahan pada punca kematian.
Selain itu, perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan Naran atau wakil dari firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan besah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.
Turut dipohon, perintah mengarahkan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, Syamsul Haris disahkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu pada jam 3.50 petang, namun sebab kematian tidak dapat disahkan, sebaliknya hanya dinyatakan Pending Laboratory Investigations atau menunggu hasil siasatan makmal.
Keesokannya, beliau ke Hospital Kota Tinggi, Johor pada jam 4 pagi untuk melihat jenazah anak, namun mendakwa tidak dibenarkan melihat keseluruhan jasad yang separuh telah ditutupi kain hospital dan dikawal pegawai di situ.
“Pada 29 Julai lalu, saya telah dimaklumkan oleh Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bahawa pakar forensik berada di Hospital Pasir Gudang dan bedah siasat ke atas jasad anak saya hanya akan dilakukan oleh seorang pegawai perubatan Gred UD10 sahaja.
“Oleh yang demikian, saya telah memohon agar anak saya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail supaya bedah siasat boleh dilakukan oleh seorang pakar forensik dan bukannya seorang pegawai perubatan. Namun begitu, apabila tiba di Hospital Sultan Ismail, saya berasa terkejut apabila melihat pegawai perubatan yang sama ketika di Hospital Kota Tinggi berada di sana untuk melakukan bedah siasat tersebut.
“Saya juga telah dimaklumkan oleh pihak Hospital Sultan Ismail bahawa laporan bedah siasat anak saya hanya akan tersedia dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ia dijalankan tanpa dimaklumkan mengapa ia mengambil masa yang lama,” katanya.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan media, berkata hasil siasatan jawatankuasa siasatan mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Tambah menteri berkenaan, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa itu mendapati semua saksi, termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.
Menurutnya lagi, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
Terdahulu pada 12 Ogos, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dipetik berkata, jawatankuasa khas diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.
Tambahnya, KPT tidak melindungi mana-mana pihak dalam siasatan dan sudah mengarahkan UTM memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa siasatan yang turut membabitkan beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sumber – Kosmo! Online





