Ramadan: Pelajar Tahfiz Ditempatkan Di Surau Kampung Orang Asli

0
731
Foto: Sinar Harian

KUANTAN – Seramai 92 pelajar tahfiz ditempatkan di surau kampung Orang Asli di Pahang bagi menghidupkan amalan dan mengimarahkan Ramadan di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kesemua pelajar terlibat akan menjadi imam solat tarawih dan tazkirah sepanjang Ramadan.

“Kita hantar dua pelajar ini (tahfiz) ke setiap perkampungan Orang Asli di seluruh negeri dan mereka akan mengimarahkan 46 surau terpilih.

“Usaha ini bagi memantapkan penghayatan Islam khususnya tentang kebenaran bulan Ramadan kepada saudara baharu dalam kalangan Orang Asli,” katanya pada Khamis

Beliau berkata, Muip memperuntukkan RM92,000 bagi menyediakan elaun imam terawih sepanjang Ramadan.

Tambah beliau, antara aktiviti pengimarahan di bulan Ramadan iaitu menziarahi penduduk sekitar, tarawih, tadarus al-Quran dan menghidupkan solat malam bersama penduduk kampung.

“Mereka akan berada di surau kampung Orang Asli di Pahang selama sebulan dan berakhir sehingga 27 Ramadan ini,” katanya

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here