Tuesday, April 21, 2026
HomeBERITAKes Zara Qairina: 5 Remaja Dituduh Guna Perkataan Mencela, Mengaku Tidak Bersalah

Kes Zara Qairina: 5 Remaja Dituduh Guna Perkataan Mencela, Mengaku Tidak Bersalah

KOTA KINABALU: Lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Kesemua remaja berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, pada prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan, antara jam kira-kira 10 hingga 11 malam 15 Julai lalu di sebuah sekolah di Papar.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Beliau berkata, hanya perkara itu boleh didedahkan, manakala hal lain yang berkaitan dengan prosiding tidak boleh didedahkan berikutan perintah larangan dikeluarkan mahkamah.

Selain Nor Azizah, pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, dan Deepa Nair Thevaharan.

Pasukan peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada tertuduh berkenaan, manakala baki empat tertuduh lagi diwakili oleh peguam, Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, ⁠Fareez Salleh dan ⁠Sylyester Kuan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September dan 16 Oktober depan, manakala pendengaran kes bermula 8 hingga 12 Disember serta 15 hingga 19 Disember.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Kalau Pasangan Curang, Kita Dah Ada Duit Sendiri – Fasha Sandha

0
KUALA LUMPUR – Aktres Fasha Sandha menasihatkan golongan wanita untuk mempunyai wang simpanan sendiri sebagai bekalan kecemasan sekiranya ditinggalkan pasangan yang curang. Pemilik nama penuh...

CATEGORIES