Kuala Lumpur: Kira-kira 15 tahun lalu, usia muda lelaki ini boleh dianggap sia-sia tanpa arah apabila tidur beralaskan kain pelikat di jalanan dan setiap hari bergantung kepada bantuan makanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.
Itu rutin harian lelaki yang dikenali sebagai Raph, 35, yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan kehidupan jalanan itu dilalui pemuda berasal dari selatan tanah air itu selama lima tahun seorang diri yang jauh dari keluarganya.
Bagaimanapun kini pemuda berkenaan nekad meninggalkan kehidupan jalanan atas nekad dan keinginan sendiri untuk kembali menjalani kehidupan lebih baik malah dia juga kini menjaga ibu tersayang.
Berkongsi kisahnya, Raph berkata, kehidupan di jalanan pada mulanya dianggap selesa kerana biarpun hari-harinya tanpa tempat berteduh dan tempat tidur yang sempurna namun dia kekal menjadi gelandangan kerana hilang arah.
Menurutnya, selain itu kehidupan selama lima tahun tidak membuatnya ‘pening kepala’ memikirkan bebanan kewangan dan keperluan harian selain mengakui makanan percuma yang diperoleh setiap hari membuatnya tidak bimbang berlapar.
“Saya merantau ke Kuala Lumpur selepas tamat sekolah untuk mencari kerja selain memang ada sedikit perselisihan faham dengan keluarga sehingga saya merajuk dan menghilangkan diri tanpa khabar.
“Beberapa tahun selepas itu saya hilang kerja dan tidak mampu membayar sewa bilik. Sejak itu saya hidup di jalanan, tidur merata-rata tempat beralaskan kain pelikat yang orang berikan, mandi di masjid dan akan mengambil makanan percuma disediakan NGO di mana-mana saja.
“Kehidupan memang tidak seindah orang lain apabila setiap hari tidur dalam kesejukan, hujan dan panas, malah lebih membimbangkan apabila ada operasi pihak berkuasa selain kadang-kadang berhadapan dengan pandangan negatif orang,” katanya yang mengakui tidak pernah ditahan dalam operasi termasuk tidak pernah terbabit salah laku jenayah.
Katanya, selepas hampir empat tahun di jalanan, dia mula terfikir untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna seperti orang lain selepas beberapa aktivis NGO yang menyediakan makanan percuma sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk dia keluar dari jalanan.
“Aktivis sosial menyelami kisah saya dan beri semangat untuk kembali kepada kehidupan yang lebih berkualiti selain saya sendiri terfikir sampai bila saya mahu tidur di jalanan, mandi dan basuh baju di masjid serta terus mengharapkan bantuan.
“Ketika hidup di jalanan memang saya ada buat kerja seperti bantu mengangkat barangan di pasar untuk duit makan pada waktu siang tetapi saya fikir tak akan selamanya saya hidup seperti itu. Rasa malu, sedih dan kecewa semua ada,” katanya.
Raph berkata, untuk keluar daripada jalanan bukan mudah dan mengakui paling penting ia sangat memerlukan semangat serta sokongan kuat, malah dia tidak menyangka dirinya sudah mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada jalanan.
“Lima tahun di jalanan banyak mengajar saya erti kehidupan dan kini saya sudah kembali ke pangkuan keluarga, malah ibu juga sudah tinggal bersama saya di sini. Saya kini bekerja sebagai penghantar makanan sejak empat tahun lalu dan biarpun kehidupan tidak mewah tetapi saya bersyukur.
“Kadang-kadang bila terserempak rakan jalanan lain saya selalu nasihat mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Pada saya tidak semestinya kita perlu bekerja hebat dan bergaji besar untuk keluar daripada kehidupan jalanan serta paling penting tekad untuk mengubah hidup kita.
“Asalkan boleh hidup dengan baik, ada kerja dan gaji untuk menyara diri itu sudah baik. Kehidupan saya ketika ini lebih tenang selepas 15 tahun meninggalkan kehidupan jalanan dan tidak mahu mengulangi pengalaman itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro