PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan Brazil, Thiago Avila yang kini masih ditahan pihak Israel selepas terlibat dalam misi solidariti ke Gaza menerima khabar duka apabila ibunya dilaporkan meninggal dunia di Brasilia.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosial rasmi Global Sumud Flotilla yang memaklumkan ibu Thiago, Teresa Regina de Ávila e Silva meninggal dunia pada usia 63 tahun.
Menurut kenyataan tersebut, mendiang disifatkan sebagai seorang wanita yang penuh keceriaan serta memiliki kekuatan luar biasa sepanjang berdepan masalah kesihatan serius selama bertahun-tahun.
“Mendiang menghadapi tempoh sakit yang panjang dengan penuh keberanian, ketenangan dan maruah, didorong semangat hidup yang tidak pernah luntur selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga,” menurut hantaran itu.
Global Sumud Flotilla turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga serta insan terdekat Teresa atas kehilangan tersebut.
Difahamkan, anak perempuan Thiago yang kini berusia dua tahun turut dinamakan sempena nama ibunya sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang keluarga.
Sementara itu, pasukan Thiago Avila memaklumkan mereka tidak dapat membayangkan kesedihan yang bakal dirasai aktivis tersebut apabila mengetahui berita pemergian ibunya.
“Kami tidak dapat membayangkan betapa berita ini akan menyakiti hati Thiago apabila dia mengetahui bahawa ibunya yang dikasihi telah meninggal dunia.
“Kami mengharapkan solidariti semua pihak untuk terus mengukuhkan rangkaian sokongan ini dan memperhebat tuntutan pembebasan segera bagi Thiago dan Saif,” kata pasukan tersebut.
Thiago sebelum ini dilaporkan ditahan bersama beberapa peserta GSF 2.0 oleh pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran ke Gaza.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Thiago bersama aktivis Sepanyol, Saif Abu Keshek telah dihadapkan ke mahkamah di Ashkelon selepas dibawa ke Israel untuk sesi soal siasat.
Pihak pendakwaan dilapor memohon kepada mahkamah supaya tempoh tahanan reman ke atas kedua-dua individu itu dilanjutkan selama empat hari lagi, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurut wakil kumpulan hak asasi Adalah, kedua-dua aktivis itu mendakwa telah dikasari oleh tentera Israel ketika serbuan ke atas kapal mereka berhampiran Pulau Crete, Greece pada Khamis lalu.
Thiago dilaporkan mendakwa beliau telah dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebanyak dua kali, manakala Abu Keshek mendakwa matanya ditutup dan tangannya diikat sejak mula ditahan.
Sumber – KOSMO! ONLINE





