BEIJING – Letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, China, membunuh 21 orang dan mencederakan 61 yang lain, demikian menurut media pemerintah seperti laporan Perbadanan Penyiaran British hari ini.
Letupan kilang Bunga Api Huasheng itu berlaku sekitar pukul 4.40 petang (waktu Malaysia) di bandar Liuyang semalam dengan pasukan penyelamat memindahkan semua orang dalam radius 3 kilometer dari tempat kejadian.
Pihak berkuasa menggerakkan hampir 500 petugas untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta merawat mangsa cedera, manakala robot membantu mencari mereka yang terperangkap di dalam bangunan.
Polis mengambil ‘langkah kawalan’ terhadap orang yang bertanggungjawab ke atas syarikat bunga api itu, lapor media rasmi China.
Pihak berkuasa berkata, dua gudang serbuk letupan dalam kawasan kilang menimbulkan risiko tinggi ketika usaha menyelamat dilakukan.
Kesan letupan pula begitu dahsyat sehinggakan tingkap-tingkap bangunan kediaman berhampiran kilang turut pecah.
Usia mangsa yang cedera adalah dalam lingkungan 20-an hingga 60-an, dengan sebahagian mereka mengalami kecederaan pada tulang akibat terkena serpihan yang berterbangan, lapor stesen penyiaran rasmi, CCTV.
Dalam perkembangan sama, Presiden Xi Jinping menggesa usaha menyeluruh dilakukan untuk mencari orang yang masih hilang dan menyelamatkan mangsa cedera.
Jinping juga mengarahkan siasatan terhadap kemalangan itu untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Bandar Liuyang terkenal dengan pembuatan bunga api dan merupakan pengeluar bunga api terbesar dunia.
Letupan di kilang dan kedai bunga api bukan asing di China dan selalunya membawa maut. Pada Februari lalu, 12 orang terbunuh dalam letupan di sebuah kedai bunga api di wilayah Hubei.
Sumber – AGENSI





