PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana dikhuatiri membawa kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan menegaskan, penganjuran program berunsur hiburan itu dilihat tidak selari dengan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Katanya, Jawi menzahirkan kekesalan terhadap penganjuran tersebut dan berharap penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaan program berkenaan.
“Merujuk Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan’ yang dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan syarak.
“Justeru, Jawi akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hari ini selepas solat maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan dan rakyat Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menambah, Jawi akan mempergiatkan pelbagai program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen media sosial serta khutbah Jumaat.
“(Ia bertujuan) kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat,” katanya.
“Jawi memohon kerjasama semua pihak memastikan sebarang penganjuran program hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya
kemudaratan yang lebih besar,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, festival berkenaan adalah sebahagian langkah proaktif dalam menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan imej negara.
“Kita perlu menyokong usaha yang memberi impak positif kepada ekonomi negara, selagi ia mematuhi peraturan ditetapkan. Jangan putar belit fakta sehingga menjejaskan keyakinan pelancong untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





