Monday, April 27, 2026
HomeSUKANAzizulhasni Awang Kekal Berbisa Walaupun Tidak Tidur Lena

Azizulhasni Awang Kekal Berbisa Walaupun Tidak Tidur Lena

NILAI – Keletihan bukan penghalang buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk terus mempamerkan kayuhan berkualiti apabila berjaya meraih pingat gangsa acara pecut individu pada Piala Dunia Trek UCI 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, semalam.

Kejayaan itu melengkapkan kempen cemerlang Azizulhasni di laman sendiri dengan kutipan satu pingat emas dan satu gangsa meskipun terpaksa mengharungi cabaran fizikal yang cukup mencabar sepanjang kejohanan.

Pelumba berusia 38 tahun itu mendedahkan dia hanya mampu ‘tidur-tidur ayam’ selepas tamat acara keirin kelmarin susulan prosedur ujian doping yang berlarutan hingga lewat malam.

“Sangat panjang perjalanan dan memang mencabar sebab selepas keirin kami perlu menjalani ujian doping hingga lewat malam.

“Saya cuba tidur tetapi tidak boleh. Mungkin disebabkan adrenalin dan juga kopi yang saya ambil sebelum perlumbaan.

“Saya memang bergelut untuk tidur, orang cakap tidur-tidur ayam sahaja. Pusing kanan, pusing kiri, tengok jam sudah pukul 6.30 pagi dan saya perlu bersedia untuk sesi memanaskan badan kerana pusingan kelayakan bermula awal.

“Jadi memang saya mengantuk, tetapi saya kena harungi juga perlumbaan ini selangkah demi selangkah,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Pada sesi kelayakan, Azizulhasni masih mampu mencatat masa 9.601 saat untuk berada di kedudukan ketiga terpantas, namun mengakui mula bergelut untuk mendapatkan semula tahap pemulihan terbaik bagi menghadapi pusingan berikutnya akibat faktor kurang rehat.

Kemuncak keletihan itu dirasainya ketika aksi separuh akhir menentang Nicholas Paulapabila tubuhnya mula memberi reaksi akibat keletihan melampau.

“Kaki saya sudah penuh dengan asid laktik ketika pusingan penentuan. Sebaik sahaja turun dari basikal, saya muntah dan terpaksa terbaring kerana keadaan badan yang terlalu penat,” jelasnya.

Meskipun sekadar meraih gangsa, pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu tetap berpuas hati kerana berjaya memberikan aksi terbaik dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna.

Secara keseluruhan, Azizulhasni menyifatkan pencapaian satu emas dan satu gangsa di Nilai sebagai sesuatu yang cukup luar biasa, lebih-lebih lagi selepas berjaya menewaskan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysendalam acara keirin.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

KESUMA Sambut Seruan Perdana Menteri: Aturan Kerja Fleksibel Perkukuh Daya Tahan...

0
PUTRAJAYA, 25 April 2026 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyambut baik seruan YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri agar sektor swasta mempertimbangkan...

CATEGORIES