KUALA LUMPUR: Organisasi budaya, PUSAKA akan meraikan budaya warisan tidak ketara Malaysia dalam festival tiga hari bermula 6 hingga 8 Oktober nanti di The Godown Kuala Lumpur.
Berita Harian juga menyatakan bahawa PUSAKA dalam kenyataan medianya menyebut, acara itu yang dinamakan Panggung PUSAKA: Senandung Kota, adalah festival yang meraikan budaya warisan tidak ketara Malaysia.
“Festival ini akan memaparkan pelbagai persembahan, bengkel, serta bual bicara bersama pakar seni tradisional daripada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia.
“Antara yang akan ditampilkan adalah Main Puteri, Kuda Kepang, Dondang Sayang selain penggiat seni Orang Asli Mah Meri,” katanya.
Panggung PUSAKA: Senandung Kota juga akan menampilkan sesi bual bicara dengan pengasas PUSAKA Eddin Khoo, selain sebuah pameran khas akan diadakan bagi memaparkan gambar fotografi dari arkib PUSAKA, bilik tayangan filem pendek, serta bazar artisan, buku dan pop-up F&B.
Menurut Berita Harian, panggung PUSAKA diadakan dengan tujuan mewujudkan platform komuniti baharu untuk penonton bandar bertemu, membabitkan diri dan berinteraksi dengan adiguru budaya warisan dari akar umbi. Ia turut diadakan bagi meraikan warisan budaya tanah air bersempena musim Hari Malaysia ke-60, Hari Kemerdekaan ke-66, dan ulang tahun ke-21 PUSAKA.
Festival itu disokong oleh geran sokongan sektor kebudayaan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dibuka kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Sumber: Berita Harian





