KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia, wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak industri sedang membangunkan kod etika dan tadbir urus kecerdasan buatan (AI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kod etika serta tadbir urus itu akan menjadi asas kepada pengawalseliaan AI dalam negara dan dijangka siap pada 2024.
Untuk itu, Jabatan Standard Malaysia (JSM) sudah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh MIMOS Berhad; dikenali National Mirror Committee bagi menghasilkan piawaian kebangsaan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Berita Harian, beliau berkata pada masa sama, MOSTI meneliti keperluan mewujudkan rangka kerja perundangan dan akta berkaitan AI.
“Sementara akta berkaitan AI diwujudkan, pemetaan akta sedia ada yang berkaitan sedang dilakukan sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah berkaitan etika AI daripada aspek perundangan negara.
“Penggunaan standard dan perundangan adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Kebergantungan kepada aspek perundangan semata-mata dalam pengawalan dan pemantauan teknologi AI akan merencatkan inovasi teknologi ini.
“Sebaliknya pengawal seliaan melalui akta dan perundangan hanya perlu sekiranya penggunaan standard kurang berkesan dalam tujuan pengawalan dan pemantauan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PKR-Tebrau) yang mahu MOSTI menyatakan langkah kementerian untuk mengawal dan memantau penggunaan teknologi AI yang dilihat semakin meluas, lapor Berita Harian.
“Minggu ini, dalam sidang Dewan Rakyat ada persoalan dibangkitkan mengenai pemantauan penggunaan teknologi AI iaitu satu teknologi yang kompleks dan proses pengawalan dan pemantauannya membabitkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard/piawaian.
“Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mengandungi Tujuh Prinsip AI yang bertanggungjawab dan Tujuh Prinsip AI tersebut adalah senarai panduan bagi membimbing pembangunan AI yang dipercayai serta bertanggungjawab seterusnya dapat melindungi hak dan privasi seseorang individu daripada penyalahgunaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian