Thursday, October 1, 2026
HomeSUKANUCL: Prestasi Semasa Real Resahkan Ancelotti

UCL: Prestasi Semasa Real Resahkan Ancelotti

MADRID – Real Madrid berada dalam situasi tidak menentu menjelang suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Arsenal di Stadium Emirates awal pagi esok selepas tewas kepada Valencia Sabtu lalu.

Kekalahan mengejut di laman sendiri itu sekali gus menjejaskan peluang Los Blancos untuk terus mencabar takhta kejuaraan La Liga apabila semakin ketinggalan dengan pasukan pendahulu, Barcelona.

Justeru, jurulatih Real, Carlo Ancelotti menggesa anak-anak buahnya supaya memperbaiki kelemahan yang ada dengan menampilkan aksi lebih baik ketika berdepan Arsenal di tempat lawan nanti.

Beliau berkata, pertemuan menentang pasukan Utara London itu lebih sukar jika dibandingkan dengan aksi bertemu Sevilla kerana menganggap Arsenal sebagai pasukan yang memiliki jentera serangan ampuh.

“Sekarang kami sudah hilang peluang untuk bersaing merebut kejuaraan (La Liga) selepas kekalahan kepada Sevilla. Bagaimanapun, saya harap kami boleh mempamerkan aksi lebih berbeza ketika bertemu Arsenal.

“Kami sedar Arsenal akan melakukan lebih banyak serangan jika dibandingkan dengan Sevilla dan perlawanan itu nanti pasti berbeza. Kami perlu lebih fokus, terutamanya pada posisi pertahanan,” katanya.

Memandangkan dua penjaga gol utama Real, Thibaut Courtois dan Andriy Lunin masih dibelenggu kecederaan, Ancelotti menyifatkan pasukan lawan tidak berdepan banyak masalah untuk menembusi gawang Real.

Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu tetap positif dengan peluang Courtois untuk kembali mengawal pintu gol Real selepas dia kembali menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan menjelang aksi menentang Arsenal.

“Secara jujur, lawan kami tidak berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol pada ketika ini tetapi saya tidak mahu merungut. Courtois sudah pun mula menjalani latihan tetapi saya tidak pasti sama ada dia boleh diturunkan ataupun tidak,” ujarnya.

Sumber – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sukan Asia: Malaysia Rentap Ego Thailand

0
PETALING JAYA – Penantian 36 tahun akhirnya berakhir apabila skuad sepak takraw negara menumbangkan musuh tradisi, Thailand 2-0 untuk merampas pingat emas acara regu...

CATEGORIES