KUALA LUMPUR: Isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nyata tidak menghalang Harimau Malaya untuk meneruskan rentak cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 apabila menewaskan Laos 3-0, pada khamis.
Ketiadaan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Imanol Machuca, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces dan Jon Irazabal menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski terpaksa melakukan rombakan besar dalam skuad utama.
Tujuh pemain itu dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Selain ketiadaan tujuh pemain itu, keadaan permukaan padang di Stadium Nasional, Vientiane yang dilihat kurang memuaskan juga seakan menjejaskan persembahan skuad negara yang sedikit bergelut untuk melakukan gerakan dan percubaan lebih berkesan di depan gol.
Harimau Malaya yang lebih menguasai permainan gagal untuk membolosi gawang Laos yang menyaksikan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan meskipun banyak peluang diperoleh anak buah Cklamovski.
Selepas peluang demi peluang gagal disudahkan dengan jaringan, Arif Aiman Hanapi melegakan kem Harimau Malaya apabila rembatan leretnya pada minit ke-54 akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.
Jaringan itu jelas menaikkan semangat barisan pemain negara yang terus melakukan asakan ke kubu lawan dan hasilnya mereka berjaya meraih jaringan kedua menerusi kapten, Dion Cools pada minit ke-68.
Pemain gantian, Faisal Halim kemudian melengkapkan kemenangan bermakna Harimau Malaya apabila meledak gol ketiga skuad negara pada masa kecederaan.


Kemenangan itu membolehkan skuad negara kekal di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul sembilan mata selepas merekodkan kemenangan bersih dalam tiga aksi awal.
Harimau Malaya yang berada di ranking 123 dunia dan Laos (ranking 185) sekali lagi akan bertembung dalam aksi keempat kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.
Sumber – Berita Harian