KUALA LUMPUR: Malaysia muncul pasukan yang mengalami kejatuhan ranking dan kehilangan mata paling teruk bagi kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.
Harimau Malaya jatuh 17 anak tangga selepas hilang 59.67 mata yang menyaksikan skuad negara kini berada di kedudukan ke-138 dunia berbanding tangga 121 ketika kemas kini pada 20 Januari lalu.
Situasi itu sebahagian besar dipengaruhi oleh keputusan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan kemenangan Malaysia ke atas Nepal dan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini.
Keputusan dibuat AFC pada 17 Mac lalu itu susulan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya dengan skuad negara diisytihar kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan kerana menurunkan pemain tidak layak.
Kekalahan kepada Nepal dipercayai memberi kesan besar terhadap ranking Malaysia berdasarkan kedudukan ranking skuad The Gorkhalis yang berada jauh lebih rendah berbanding Harimau Malaya.
Selain kesan daripada hukuman AFC, kekalahan 1-3 kepada Vietnam pada aksi terakhir kelayakan dalam Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, kelmarin turut mempengaruhi kejatuhan ranking skuad kendalian Peter Cklamovski.
Sementara itu, Vietnam pula muncul pasukan paling banyak meningkat dari segi kedudukan dan pungutan mata bagi kemas kini terbaharu ranking FIFA kali ini.
Skuad Golden Star Warriors mendaki sembilan anak tangga ke kedudukan ke-99 dunia berbanding tangga 108 sebelum ini dan meraih tambahan mata sebanyak 36.17.
Nepal yang tewas 0-1 kepada Laos dalam aksi terakhir kelayakan, kelmarin bagaimanapun naik enam anak tangga ke kedudukan 176 berbanding 182 pada Januari lalu.
Sumber – Berita Harian





