Kota Kinabalu: Cara kematian Zara Qairina Mahathir adalah paling konsisten dengan tindakan membunuh diri berdasarkan bedah siasat psikologi, kata pakar perunding psikiatri forensik kepada Mahkamah Koroner, hari ini.
Dr Chua Sze Hung, 43, berkata, jelas mangsa menunjukkan faktor risiko bunuh diri yang lebih dominan berbanding faktor pelindung pada waktu kejadian.
Saksi ke-67 itu berkata, beliau menyediakan, menandatangani dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Februari untuk mahkamah, yang memfokuskan kepada isu kebarangkalian membunuh diri dan keadaan berkaitan remaja berusia 13 tahun itu.
Katanya, antara maklumat dan dokumen yang disemak termasuk diari Zara Qairina, lokasi kejadian, laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik Dr Jessie Hiu, laporan kaunseling, lawatan ke asrama dan bilik dormitori Zara Qairina, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.
“Terdapat maklumat yang menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
“Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.
“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas, dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Chua berkata, salah satu punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri, dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelum ini.
Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapanya tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu.
“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.
“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘badar’ (pengawas),” katanya.
Dr Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki SMKA Tun Datu Mustapha.
Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 September memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara Qairina.
Pasukan tiga ahli yang terdiri daripada beliau sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja Dr Nurulwafa Hussain, serta pakar psikologi klinikal Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh Ketua Pengarah KKM pada 19 September 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi.
Dr Chua berkata, beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah, dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, serta Mahkamah Syariah di seluruh negara.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya dan disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Sumber – Harian Metro





