MIAMI, Amerika Syarikat: CONCACAF, badan induk bola sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean menyatakan mereka sedang menjalankan “komunikasi rapat dan berterusan” dengan pihak berkuasa tempatan berikutan protes berlarutan di Los Angeles, yang menimbulkan kebimbangan menjelang aksi pembukaan Piala Emas di Stadium SoFi.
Kejohanan itu dijadual bermula pagi Ahad ini dengan pertembungan antara Mexico dan Republik Dominica, namun ketegangan masih memuncak di beberapa kawasan di bandar raya itu selepas siri serbuan imigresen yang mencetuskan demonstrasi besar-besaran.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua peserta, penyokong dan pihak berkepentingan adalah keutamaan tertinggi Konfederasi,” menurut CONCACAF dalam satu kenyataan.
“Kami akan terus memantau perkembangan semasa secara aktif sambil berusaha untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia yang menampilkan pasukan terbaik dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan menyeronokkan untuk semua, bermula dengan aksi pembukaan pada hari Sabtu, 14 Jun 2025, di Los Angeles.”
Los Angeles juga sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah beberapa perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA termasuk perlawanan antara Paris Saint-Germain dan Atletico Madrid di Rose Bowl, Pasadena pada pagi Isnin.
Sumber – REUTERS





