Friday, July 24, 2026
HomeBERITAPekerja Kemurungan, ‘Skizo’ Dilindungi Skim Keilatan Perkeso

Pekerja Kemurungan, ‘Skizo’ Dilindungi Skim Keilatan Perkeso

KUALA LUMPUR – Pekerja mengalami kemurungan dan skizofrenia adalah dilindungi di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di mana Orang Berinsurans yang layak boleh menerima faedah-faedah seperti Pencen Ilat dan faedah pemulihan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, masalah berkenaan adalah kes kesihatan yang tidak jatuh di bawah penyakit khidmat atau tidak disebabkan oleh faktor pekerjaan.

Menurutnya, selain itu, suatu penyakit yang terbit daripada pendedahan kepada faktor risiko spesifik di tempat kerja adalah dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] dan ditakrifkan sebagai Penyakit Khidmat.

“Jemaah Doktor Khas dan Jemaah Doktor Rayuan mempunyai kuasa untuk memutuskan suatu kes tersebut sebagai Penyakit Khidmat sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 28, Akta 4.

“Dengan syarat penyakit tersebut diketahui terjadi akibat pendedahan risiko tempat kerja dan dibuktikan berdasarkan siasatan dan pembuktian pendedahan risiko berkaitan,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari Samy Vellu berhubung sama ada Perkeso bercadang menyemak semula garis panduan pengiktirafan penyakit pekerjaan bagi mengambil kira penyakit kronik berpunca daripada tekanan pekerjaan dan faktor pekerjaan jangka panjang.

Ramanan berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk melihat keperluan bagi menambah baik garis panduan kesihatan berkaitan secara keseluruhan.

“Ini selaras dengan perubahan corak pekerjaan yang sentiasa berubah mengikut kehendak pasaran serta peningkatan usia tenaga kerja negara.

“Garis panduan ini dikemas kini dari semasa ke semasa dan Perkeso akan menganjurkan kursus untuk melatih ahli Jemaah Doktor sebanyak tiga kali setahun. Antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkaitan penyakit khidmat dan kaedah menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan menangani isu tekanan pekerjaan di tempat kerja, Perkeso turut menjalankan program antaranya, Seminar Workplace Well-Being yang dilaksanakan secara bersemuka di setiap pejabat negeri tanpa sebarang kos kepada majikan.

Katanya, ia bertujuan membantu majikan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja melalui peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental, pengurusan risiko psikososial di tempat kerja.

“Siri Webinar Promosi Kesihatan Pekerja iaitu siri webinar dalam talian yang memberi pendedahan kepada pekerja mengenai kesihatan mental, pengurusan stres, kesejahteraan emosi, kesihatan umum dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.

“Program Activ@Work Challenge 2025 pula menggalakkan majikan membudayakan aktiviti fizikal, gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental di tempat kerja,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Amerika Meterai Perjanjian Nuklear Dengan Arab Saudi

0
WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) mengumumkan perjanjian penting dengan Arab Saudi bagi  mewujudkan program nuklear awam di negara Teluk itu. Langkah itu diambil ketika Presiden Donald...

CATEGORIES