WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) mengumumkan perjanjian penting dengan Arab Saudi bagi mewujudkan program nuklear awam di negara Teluk itu.
Langkah itu diambil ketika Presiden Donald Trump memerangi Iran, konflik yang sebahagian besarnya bermula daripada kebimbangan terhadap program nuklear Tehran. Isu itu kekal titik perbalahan utama semasa rundingan damai Washington-Tehran yang kini terhenti.
Dua perjanjian, pertama mengenai ‘kerjasama nuklear secara aman’ dan satu lagi mengenai ‘perlindungan dua hala’ tditandatangani oleh Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright dan rakan sejawatanya dari Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, demikian menurut Jabatan Tenaga.
Teks perjanjian tersebut tidak didedahkan kepada umum.
“Secara bersama, kedua-dua perjanjian ini meletakkan asas undang-undang untuk perkongsian berdekad-dekad lamanya, bernilai berbilion-bilion dolar yang memajukan beberapa objektif ekonomi dan strategik keutamaan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Perjanjian itu berpotensi menyaksikan syarikat-syarikat AS membina kemudahan pengayaan uranium di Arab Saudi, lapor akhbar Wall Street Journal. Perjanjian sama akan diserahkan kepada Kongres untuk semakan, tetapi parlimen AS tersebut yang dikuasai Parti Republikan, tidak mungkin menolaknya.
Wakil rakyat AS daripada Parti Republikan dan pembangkang, Parti Demokrat serta pegawai Israel telah menyuarakan bantahan terhadap projek sedemikian kerana bimbang Arab Saudi akhirnya boleh menggunakannya untuk membangunkan senjata nuklear.
Riyadh, seperti Tehran telah lama bertegas tentang haknya untuk meneruskan program nuklear awam. Tahun lalu, Arab Saudi menandatangani pakatan pertahanan bersama dengan Pakistan yang memiliki senjata nuklear.
Sumber – AGENSI





