SERDANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dijangka melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya pada penghujung tahun ini, dengan nama rasmi akan diumumkan kelak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata model berkenaan yang dijangka ditawarkan pada harga di bawah RM80,000 akan memasuki fasa pengeluaran akhir pada Oktober ini.
“Sasaran awal pengeluaran bagi EV pertama PERODUA adalah sebanyak 500 unit sebulan di kilang baharu kami di Rawang, Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis pengenalan prototaip kenderaan elektrik separa syarikat itu di Malaysia Autoshow 2025, di sini hari ini.
Menurut Zainal, EV berkenaan akan menggunakan komponen tempatan bagi bahagian kritikal, dengan sasaran kadar penggunaan komponen tempatan melebihi 60 peratus.
“Sasaran pasaran utama kami adalah golongan muda dan keluarga kecil,” katanya.
Mengulas mengenai spesifikasi bateri, beliau berkata, model EV itu dilengkapi sistem pengecasan pantas 60kW DC dengan jangka hayat bateri sekitar sembilan tahun. Setiap unit bateri juga akan dilengkapi dengan sistem pengenalan khusus bagi tujuan pengesanan dan keselamatan.
Dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap EV tempatan, PERODUA turut memberi jaminan bahawa nilai jualan semula model berkenaan akan kekal tinggi, meskipun selepas bertahun-tahun digunakan.
“Kami memastikan tiada susut nilai ketara berlaku. Tidak seperti kebanyakan EV lain yang menyusut nilai akibat kebimbangan terhadap prestasi bateri selepas lapan tahun, kenderaan kami direka supaya kekal bernilai.
“Malah, pemilik boleh menukar bateri pada harga mampu milik, iaitu di bawah RM80,000, dengan proses penukaran hanya mengambil masa sekitar 30 minit di pusat servis kami yang dilengkapi sistem khas,” katanya.
Mengulas sasaran jualan, beliau berkata tiada angka khusus ditetapkan buat masa ini kerana pelancaran EV sepenuhnya adalah satu percubaan baharu bagi PERODUA.
“Sukar untuk menetapkan sasaran tepat kerana kami masih mengkaji tahap penerimaan pengguna. Namun, kami menyasarkan sekitar 500 unit sebulan pada peringkat awal,” ujarnya.
Selain itu, Zainal berkata, PERODUA juga sedang meneliti model perkhidmatan pertukaran bateri (battery swapping) sebagai nilai tambah untuk pengguna. Namun, pelaksanaan penuh bergantung kepada kesediaan sistem infrastruktur nasional dan tahap penerimaan pasaran.
“Kami juga sedang meneliti keperluan ‘battery passport’ yang diperkenalkan kerajaan. Jika ingin menukar bateri dalam masa dua minit, sistem perlu dapat mendaftar dan memadankan bateri serta kenderaan secara automatik,” katanya.
Dengan platform EV milik sendiri, PERODUA yakin dapat mengembangkan lebih banyak model dan sistem mobiliti yang fleksibel serta selari dengan keperluan masa hadapan.
Sumber- Berita Harian





