PETALING JAYA – Festival raya ikonik, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABxFGR) bakal kembali berlangsung selama 66 jam tanpa henti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 21 Mac (12 tengahari) hingga 6 pagi 24 Mac 2025.
Acara yang telah menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records sebagai Expo Festival Raya Terbesar di Malaysia itu merupakan anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management.
“Penganjur berhasrat meneruskan kejayaan ini dengan mencipta rekod baharu bagi tahun 2025, yang mana skala festival telah diperbesarkan dengan menambah sebuah lagi dewan pameran untuk menempatkan lebih banyak tapak reruai.
“Untuk tahun ini, 700 tapak reruai telah habis dijual dan pihak penganjur menyasarkan RM25 juta hasil keuntungan daripada pempamer di samping menarik seramai dua juta pengunjung,” katanya.
Selain menyediakan pengalaman membeli belah bagi persediaan Aidilfitri yang lengkap daripada pakaian, produk kecantikan dan juadah Aidilfitri, antara tarikan utama lain bagi acara ABxFGR ialah Mini Absolut FoodFest.
Pesta makanan yang diadakan di bahagian luar dan dalam dewan pameran itu menyediakan pengunjung peluang menikmati pelbagai makanan dan minuman daripada lebih 50 vendor makanan untuk berbuka puasa dan sahur sepanjang acara berlangsung, menjadikan ABxFGR sebagai pusat tumpuan untuk membeli kelengkapan hari raya, berbuka puasa serta bersahur.
Maklumat terkini boleh didapati di akaun media sosial rasmi ABxFGR.
Sumber – KOSMO! ONLINE





