Friday, November 13, 2026
HomeHIBURANYuna Sedia Kembali Ke AJL, AIM

Yuna Sedia Kembali Ke AJL, AIM

PETALING JAYA – Lama tidak mempertaruhkan karya muzik dalam sebarang acara pengiktirafan industri muzik tanah air, penyanyi Yuna bersedia untuk kembali bertanding di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

Yuna atau nama penuhnya Yunalis Mat Zara’ai, 40, menyifatkan buah tangan terbaharu tersebut wajar dipertandingkan memandangkan album tersebut dihasilkan sepenuhnya di Malaysia.

“Insya-Allah, ini adalah album sepenuhnya buatan Malaysia, saya rasa wajar kita bertanding di AJL termasuk di pentas AIM.

“Bahagian yang paling menyeronokkan tentang AJL adalah diberikan sebuah pentas dan kebebasan kreatif untuk melakukan apa sahaja di serta cara kita mempersembahkan lagu tersebut.

“Jadi, saya sudah beritahu pasukan saya, kalau masuk AJL, saya nak ada kapal lanun (pirate ship) di atas pentas,” katanya kepada Kosmo! Online semasa pelancaran album Senjata, semalam.

Bagaimanapun, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mengakui penyertaan dalam sesebuah pertandingan berskala besar memerlukan pertimbangan teliti dari segi masa, peruntukan kewangan serta sokongan pasukan di belakangnya memandangkan dia kini bergerak secara sendiri.

“Sebenarnya bergantung pada peluang sebab semua benda ini memakan masa dan bajet. Saya pun bergerak sendiri.

“Kalau ada sokongan dan peluang, kenapa tidak sebab saya pun buat lagu ini bukan seorang. Saya buat dengan pasukan saya dan mereka nak tengok saya masuk AJL.

“Saya pun okey dan menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya lakukan untuk peminat juga, saya terhutang budi dengan mereka,” ujarnya.

Ditanya mengenai karya yang menjadi taruhan utama, Yuna berharap naskhah berjudul Senjata diangkat memandangkan karya tersebut paling dekat di hatinya buat masa ini.

“Saya rasa lagu Senjata, buat masa sekarang apa yang paling kuat dalam hati saya dan benar-benar saya mahu kongsikan kreativiti saya menerusi lagu itu.

“Saya rasa lagu itu pun ramai orang akan suka daripada pelbagai generasi.

“Daripada mak cik- mak cik sampailah generasi muda. Mereka akan menghargai Senjata,” katanya lagi.

Selepas empat tahun, Yuna kini tampil mempertaruhkan album baharu berjudul Senjata yang memuatkan tujuh buat lagu.

Antara naskhah yang dimuatkan adalah Senjata, Lena, Tinggi Rendah Langit, Intuisi, Rockstar, Siren dan karya bahasa Inggeris, Turn Back Time.

Album yang diterbitkan Yuna Room Records tersebut mencerminkan hala tuju Yuna dengan beberapa kolaborasi penerbit dan penulis lagu tempatan seperti Anas Amdan, Aizat Amdan dan Raja Nazrin Shah (SOG).

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Pengiktirafan Berprestij Buat Cef Anis Nabilah Di Pentas Kulinari

0
KUALA LUMPUR – Cef selebriti Anis Nabilah mengharumkan nama Malaysia apabila menerima penghormatan berprestij TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 dalam sebuah majlis di...

CATEGORIES