Wednesday, November 18, 2026
HomeHIBURAN'Watak Jahat Paling Senang Nak Bawa' – Dian P. Ramlee

‘Watak Jahat Paling Senang Nak Bawa’ – Dian P. Ramlee

Pelakon versatil Dian P. Ramlee menyifatkan watak antagonis seperti Mak Leha dalam drama Suamiku Anak Mak lebih mudah dibawakan berbanding karakter lemah lembut.

Dian berkata, watak jahat memberikannya ruang untuk melepaskan emosi, manakala karakter lembut memerlukan kawalan pada setiap gerak-geri.

“Sebagai pelakon, bagi saya watak paling senang hendak dibawa ialah watak jahat sebab kita boleh benar-benar melepaskan semuanya.

“Kalau watak lemah lembut, sangat susah sebab kena kawal segala-galanya. Kena kawal emosi, wajah, mata dan sebagainya,” katanya.

Menurut Dian, perbezaan tersebut mempengaruhi cara seseorang pelakon menzahirkan emosi ketika menjayakan sesuatu babak.

“Kalau jahat, kita lepaskan sahaja. Apabila dilepaskan, emosi itu akan keluar dan terus keluar. Kalau disimpan, tidak bolehlah.

“Kalau watak lembut, kita kena simpan. Jadi kena kawal emosi,” ujarnya.

Bagaimanapun, Dian menegaskan watak antagonis juga mempunyai perbezaan mengikut latar belakang dan keperibadian karakter.

Katanya, pendekatan membawakan watak jahat dari kampung tidak sama dengan karakter berlatarbelakangkan kehidupan orang berada.

“Kena tahu, watak jahat saya ini orang kampung. Jahat orang kaya pula lain, ada gayanya. Tidak boleh disamakan.

“Watak jahat orang kampung lebih santai dan lepas. Watak jahat orang kaya pula lebih terkawal, ada auranya.

“Semuanya melibatkan postur tubuh. Jadi ada perbezaan karakter antara watak jahat orang kaya dengan orang kampung,” jelasnya.

Bagi Mak Leha, Dian memilih untuk memperlihatkan emosi karakter tersebut secara lebih terbuka.

“Apabila saya membawakan watak orang kampung, saya akan lepaskan. Watak itu akan meluahkan semuanya, bergaduh dengan jiran pun dia tidak simpan.

“Tetapi watak Mak Tok yang kaya, yang pernah saya bawakan dahulu, saya kawal. Watak itu ada ramai pengawal peribadi.

“‘Bunuh dia!’ Dia hanya beri arahan sahaja. Itulah bezanya,” katanya.

Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, Suamiku Anak Mak kini sedang ditayangkan menerusi slot Megadrama, jam 10 malam, di saluran Astro Ria, dan boleh distrim melalui sooka.

Sumber – Gempak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Cakra Khan Tak Kisah Diboikot Kerana Pertahan Prinsip

0
KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Cakra Khan, tidak gentar berdepan risiko diboikot atau kehilangan tawaran persembahan susulan kelantangannya menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu sosial. Baginya,...

CATEGORIES