Wednesday, November 18, 2026
HomeBERITACakra Khan Tak Kisah Diboikot Kerana Pertahan Prinsip

Cakra Khan Tak Kisah Diboikot Kerana Pertahan Prinsip

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Cakra Khan, tidak gentar berdepan risiko diboikot atau kehilangan tawaran persembahan susulan kelantangannya menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu sosial.

Baginya, kehilangan peluang kerja bukan alasan untuk menggadaikan prinsip, apatah lagi apabila suara yang dilontarkan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu yang membabitkan kepentingan ramai.

Cakra mengakui sudah ada penganjur membatalkan undangan persembahannya, namun tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dikesalkan, sebaliknya risiko yang harus diterima apabila memilih untuk bersuara.

Bagaimanapun, penyanyi Kekasih Bayangan itu tidak mendedahkan jumlah tawaran persembahan yang dibatalkan setakat ini.

“Memang sudah ada yang membatalkan, tetapi tidak mengapa. Mungkin penganjur kurang menyukai cara saya bersuara.

“Saya mempunyai prinsip sendiri dan akan terus menyuarakan apa yang saya fikirkan wajar untuk diperkatakan.

“Saya tidak pernah menghakimi mana-mana individu, sebaliknya hanya mahu meningkatkan kesedaran mengenai masyarakat yang terkesan dengan sesuatu isu,” katanya.

Selain Cakra, konsert yang bakal berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) pada 12 Disember depan itu turut menampilkan Datuk Amy Search, Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana, Khai Bahar dan Nabihah Aimi.

Cakra berkata, dia sedar pandangannya mungkin tidak disenangi semua pihak, namun tidak menganggap perbezaan pendapat sebagai sesuatu yang perlu ditakuti.

Malah, dia pernah menerima pelbagai kecaman menerusi mesej peribadi termasuk tuduhan kononnya sudah tidak laku dan sengaja menumpang isu tertentu untuk meraih perhatian.

Lebih membimbangkan, ada individu mengugut mahu mendedahkan kad pengenalannya menerusi media sosial.

Bagaimanapun, Cakra memilih untuk tidak melayan serangan berkenaan kerana menganggap kecaman sedemikian sebagai lumrah apabila seseorang mempunyai pandangan berbeza.

Mengulas kemungkinan kehilangan lebih banyak tawaran kerja, Cakra berkata, dia tidak keberatan kembali menyanyi di kafe seperti ketika mula-mula membina kerjaya seni.

“Saya tidak kisah kembali menyanyi di kafe. Tidak mengapa asalkan masih boleh menyanyi. Saya bermula dari bawah dan tidak mempunyai masalah untuk kembali ke tempat itu.

“Populariti hanyalah bonus bagi saya,” katanya.

Mengakui masih menerima tawaran persembahan setakat ini, Cakra bagaimanapun tidak menolak kemungkinan lebih banyak undangan dibatalkan selepas ini.

Namun, dia tidak gentar dengan sebarang ancaman kerana yakin undang-undang mampu melindunginya sekiranya ada pihak bertindak melampaui batas.

Ditanya sama ada akan lebih berhati-hati atau terus lantang menyuarakan pandangan, Cakra menegaskan pendiriannya tidak akan berubah.

Bagaimanapun, dia tidak bercadang mengulas semua isu, sebaliknya hanya akan menyentuh perkara umum yang difahami serta mempunyai pengetahuan mengenainya.

Dalam pada itu, Cakra turut mengajak masyarakat Indonesia supaya terus memupuk empati dan menghulurkan bantuan, terutama ketika ramai rakyat negara itu berdepan kesan bencana.

Katanya, masyarakat perlu saling memberikan sokongan dan semangat, selain membuka ruang untuk mendengar suara mereka yang terkesan dengan sesuatu keadaan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Lampu Telefon Jadi Pelindung Pengguna Transit Redah Kegelapan

0
KUALA LUMPUR – Ketiadaan laluan pejalan kaki dan pencahayaan yang mencukupi memaksa sebahagian pengguna pengangkutan awam berjalan dalam gelap serta berkongsi ruang dengan kenderaan...

CATEGORIES