Penyampai radio Era FM, Nabil Ahmad meluahkan rasa syukur apabila melihat perubahan ketara isterinya, Nazirah Ayub atau Zira, selepas 13 tahun bersama.
Menurut Nabil, isterinya kini dilihat lebih tenang dan tidak lagi mudah berasa tidak selamat atau ‘insecure’ seperti sebelum ini.
“Ini yang aku tunggu 13 tahun. Alhamdulillah, akhirnya dia jadi juga. Bini aku, Zira, dia dah relaks, dia dah mula tenang. Apa aku buat, apa semua, dia dah tak insecure.
“Balik kerja, MeleTOP, dah tak ada soalan-soalan yang trigger. 13 tahun tunggu. Alhamdulillah, boleh cakap perubahan yang drastiklah. Dia dah tenang,” kongsinya.
Nabil berkongsi perkara itu ketika di segmen 3 Pagi Era bersama dua rakannya, Pak Azad dan Radin.
Bagaimanapun di sebalik perubahan positif itu, Nabil mengakui timbul rasa bimbang dalam dirinya sama ada ketenangan itu benar-benar tanda isterinya sudah ‘okey’ atau sebaliknya.
“Ke dia dah tak peduli? Aku risau juga sebenarnya. Macam ni sebenarnya dia dah okey ataupun dia dah tak peduli,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, pengacara program MeleTOP itu bernikah dengan isterinya pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan.
Sumber – Gempak





