PETALING JAYA – Tidak lebat tawaran lakonan seperti aktor lain, pelakon Fadhli Masoot tetap bersyukur apabila rezeki seni hadir tanpa putus walaupun wajahnya jarang terlihat dalam drama televisyen.
Entah di mana silapnya, Fadhli atau nama sebenarnya Mohd Fadhli Masoot, 30, bagaimanapun sedar barangkali perjalanan kariernya kini lebih tertumpu ke arah filem berbanding naskhah drama atau telefilem.
“Memang ada tawaran, cuma tidak banyak. Sekarang saya rasa macam Tuhan susun perjalanan saya ke arah filem.
“Kalau nak ingat, sudah lama saya tidak buat drama televisyen. Saya banyak terlibat dengan filem, daripada satu projek ke projek lain.
“Alhamdulillah, mungkin tidak banyak seperti orang lain, tetapi rezeki tetap ada dan tidak pernah putus,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang filem Banduan itu, berbanding segelintir rakan industri yang menerima beberapa tawaran dalam sebulan, dia hanya memperoleh satu peluang dalam tempoh sama.
“Kalau kawan-kawan lain, mungkin sebulan dapat tiga atau empat tawaran. Itu baru boleh kata banyak. Saya pula biasanya satu sahaja.
“Tapi selalunya bila hampir habis penggambaran, akan ada panggilan baharu. Jadi, perjalanan itu bersambung sahaja.
“Kalau ada ruang kosong, saya isi dengan projek sendiri seperti mengarah video muzik. Dari situ saya belajar dan tambah ilmu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Fadhli tidak menafikan kekangan bergerak secara solo tanpa pengurus menjadi antara faktor dirinya kurang menonjol dari segi promosi.
Malah, dia juga mengakui pernah berusaha menghantar resume kepada beberapa syarikat produksi suatu ketika sahulu namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Bukan susah dapat kerja, Tawaran itu ada. Cuma mungkin cara saya berbeza. Saya bergerak sendiri, tiada pengurus. Saya pula jenis segan untuk mendekati orang industri terutama pihak atasan.
“Ada masa datang banyak tapi selepas itu senyap sahaja. Jadi saya serahkan pada aturan Tuhan. Kalau sudah tertulis, pasti jadi.
“Saya pernah hantar resume ke banyak produksi tetapi tiada respons. Tapi saya okey sahaja, mungkin belum ada rezeki waktu itu,” tuturnya pada pelancaran filem HAK: Tuntut Atau Tunduk, di sini, semalam.
Naskhah aksi dramatik arahan Ezrie Gazali terbitan Astro Shaw bersama Enotech Pictures dan Icon Pictures itu mengangkat realiti kehidupan masyarakat masa kini termasuk tekanan ekonomi dan pilihan getir demi kelangsungan hidup.
Selain Fadhli, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Mimi Lana dan Fizz Fairuz.
Sumber – KOSMO! ONLINE





