PENAT dinilai, letih disalah tafsir dan muak apabila orang lain berasa lebih tahu tentang diri mereka menjadi pencetus Dolla tampil lebih berani menerusi karya terbaharu, Ugly.
Karya dengan bunyi lebih agresif itu menjadi ruang buat Sabronzo, Tabby dan Angel menyuarakan pendirian bahawa mereka berhak menentukan siapa diri mereka tanpa terus terperangkap dalam persepsi individu lain.
“Jika kami perlu menggambarkan Ugly dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’.
“Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” kata Sabronzo mewakili dua lagi rakannya.
Lebih menarik, mesej dibawa lagu tersebut bukan semata-mata berkisar kehidupan sebagai selebriti, sebaliknya berkaitan mereka yang pernah berdepan situasi dilabel atau dihukum hanya berdasarkan faktor luaran.
Luka jadi kekuatan
Dolla juga mengakui setiap daripada mereka pernah melalui pengalaman disalahertikan dalam senario berbeza, sekali gus diberi peluang mengubah rasa kecewa itu kepada kekuatan menerusi Ugly.
“Kami dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya terasa begitu peribadi. Ada satu kepuasan apabila dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi semangat.

“Ugly mempunyai tenaga yang penuh penentangan tetapi pada dasarnya, merupakan naskhah tentang keberanian menentukan naratif kita sendiri,” ujar Tabby pula.
Semangat tersebut ditonjol menerusi susunan lagu yang bertenaga serta lirik berani kerana bagi tiga sekawan itu, ketegasan bukan mahu mencipta imej rebel, tetapi simbol usaha mereka mengambil alih kuasa menentukan kisah diri sendiri.
Wayang kulit inspirasi
Tambah Tabby, video muzik Ugly pula memilih pendekatan simbolik dengan menjadikan wayang kulit, seni persembahan tradisional Melayu sebagai inspirasi utama menerusi permainan cahaya dan bayang-bayang.
“Dalam kehidupan, manusia sering membuat kesimpulan berdasarkan ‘bayang-bayang’ yang terlihat tanpa mengetahui keseluruhan cerita di sebaliknya.
“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran penuh dan konsep itu serasi dengan Uglykerana manusia sering melakukan perkara sama terhadap satu sama lain.
“Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran,” jelasnya.
Menariknya, penggambaran video muzik turut menguji kemampuan Dolla apabila sebahagian besar dunia visualnya hanya dibentuk ketika proses pascaproduksi.
“Oleh sebab sebahagian besar dunia dalam video ini dihasilkan ketika pascaproduksi, kami perlu membayangkan banyak elemen dan tenaganya semasa membuat persembahan.
“Penggambaran di dalam sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir gelap sepenuhnya turut menyuntik suasana misteri kepada set. Melihat hasil akhir video muzik itu benar-benar mengujakan,” ulas mereka.
Berkenaan perancangan selepas ini, trio sensasi tersebut mengakui lebih memberikan tumpuan kepada persembahan di peringkat antarabangsa dan mendekati khalayak lebih luas
Sumber – Kosmo! Online





