Monday, November 23, 2026
HomeBERITAJKDM Perangi Penyeludupan Habis-Habisan, Tiada Kompromi Kesalahan Perdagangan

JKDM Perangi Penyeludupan Habis-Habisan, Tiada Kompromi Kesalahan Perdagangan

Aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan barangan tidak sah terus menjadi antara cabaran dalam usaha memastikan keselamatan serta melindungi kepentingan ekonomi negara. Sebagai pihak yang bertanggungjawab, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa memperkukuh dan memperkemas strategi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta perdagangan barangan tidak sah secara berterusan dan berkesan.

Hasil daripada usaha penguatkuasaan yang diperkasakan, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya mematahkan sebanyak 5,180 kes penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam, iaitu peningkatan sebanyak 167 kes atau 3.33 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Daripada keseluruhan kes tersebut, nilai barangan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2.055 bilion, merangkumi pelbagai jenis barangan. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 37.7 peratus atau RM0.563 bilion berbanding nilai RM1.492 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan, rokok merekodkan jumlah kes tertinggi, iaitu sebanyak 2,333 kes dengan nilai rampasan mencecah RM476 juta. Kategori ini diikuti oleh barangan lain-lain komoditi yang mencatatkan sebanyak 1,256 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM522.47 juta. Kategori lain-lain komoditi tersebut merangkumi pelbagai jenis barangan, antaranya daging dan ayam beku, tekstil, tayar, alat ganti kenderaan, alat komunikasi serta mata wang.

Komitmen dan prestasi JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam jelas terserlah melalui pencapaian penguatkuasaan yang direkodkan. Statistik berkenaan mencerminkan kesungguhan jabatan dalam menangani setiap kes pelanggaran undang-undang secara tegas dan berterusan. Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri’ Haji Amran bin Haji Ahmad, kejayaan JKDM menumpaskan sindiket pengedaran dadah melalui beberapa kes berprofil tinggi membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam membanteras penyeludupan dadah, khususnya usaha membendung penyalahgunaan Negara Malaysia sebagai negara transit bagi kegiatan pengedaran dadah antarabangsa.

Tambah beliau, hasil penguatkuasaan terhadap kes penyeludupan minuman keras di Sabah pada Ogos 2026 turut memperlihatkan keberkesanan pemeriksaan kontena dalam mengesan sembilan kes cubaan penyeludupan.

Pendekatan Berasaskan ‘Outcome’

Pada tahun 2026, JKDM meneruskan dan memperkukuh pelaksanaan pendekatan berasaskan hasil (outcome-based approach) dengan memberi tumpuan kepada kes- kes penguatkuasaan berimpak tinggi, khususnya kes berskala besar yang melibatkan pengimportan dan pemeriksaan kontena.

Melalui pendekatan yang lebih berfokus dan berimpak ini, JKDM bukan sahaja berperanan melindungi dan memelihara hasil negara, malah turut mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan perdagangan tidak sah demi menjamin kepentingan ekonomi serta keselamatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

MCMC Gesa Pengguna Kemas Kini Telefon Untuk Terima Amaran Kecemasan

0
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka...

CATEGORIES