Tuesday, July 21, 2026
HomeHIBURAN‘Satu Episod RM500, Rasa Macam Saya Bawah Tapak Kaki’ - Ieda Moin

‘Satu Episod RM500, Rasa Macam Saya Bawah Tapak Kaki’ – Ieda Moin

KUALA LUMPUR – Tiga dekad menabur bakti dalam dunia seni, pelakon Ieda Moin mengakui terkilan apabila masih ada syarikat produksi menawarkan bayaran tidak setimpal, malah jauh lebih rendah berbanding artis baharu.

Ujar Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd. Moin, 46, situasi tersebut membuatkan dirinya berasa pengalaman serta jasa yang dicurahkan selama ini seolah-olah tidak lagi dihargai.

“Tipulah kalau kata tak terasa sebab saya sudah 30 tahun dalam industri. Memang itu rezeki mereka (artis baharu), saya tidak pertikaikan atau cemburu.

“Namun bagi orang yang tahu pencapaian dan pengalaman saya, mereka faham bagaimana hendak menghargainya menerusi bayaran setimpal.

“Bila ditawarkan dengan harga rendah, terasa macam kita berada di bawah tapak kaki mereka. Budak-budak baharu satu episod boleh terima RM4,000 hingga RM5,000, saya pula nak dapat RM2,000 pun susah,” katanya.

Tambah bintang filem Saka Perawan itu, isu tersebut bukan berpunca daripada kekurangan bajet produksi, sebaliknya wujud layanan berbeza antara pelakon lama dan baharu.

Lebih menyedihkan, pelakon kini bukan sahaja menerima bayaran rendah, malah terpaksa menyediakan pakaian sendiri untuk penggambaran, sesuatu yang jarang berlaku suatu ketika dahulu.

“Produksi bukan tiada bajet, tetapi mereka mengamalkan layanan berbeza. Dulu pergi penggambaran semua pakaian disediakan.

“Kita faham sekarang susah nak dapat penaja. Kalau produksi membantu tak mengapa, tetapi bila kita diminta bawa baju sendiri, kemudian mereka pula tentukan pakaian apa perlu dipakai, akhirnya bayaran pelakon dipotong lagi.

“Kadang-kadang bukan berkira, cuma kami mahu bekerja dalam suasana gembira,” ujarnya pada sidang media drama Ate Kome, I Love You, di sini, baru-baru ini.

Mengimbau era kegemilangan industri sekitar 2006, Ieda mengakui kadar bayaran pelakon ketika itu jauh lebih baik berbanding sekarang.

Malah, dia masih tidak dapat melupakan kejadian tawaran hanya RM500 bagi menjayakan sebuah drama episod sejam, sesuatu yang disifatkannya tidak munasabah untuk pelakon berpengalaman.

“Sakit hati juga, rasa macam nak kembali ke zaman 2006. Dulu industri lebih meriah, sekarang nak dapat bayaran sepatutnya memang susah.

“Mereka pernah panggil saya berlakon drama satu episod dengan tawaran RM500. Saya terus tanya, sudah berapa lama awak jadi pengurus produksi dan sudah berapa lama saya berada dalam industri?

“Bukan nak berlagak, tetapi saya memang ada kadar bayaran sendiri. Malangnya ada artis sanggup menerima bayaran terlalu rendah sehingga ‘membunuh’ harga pasaran pelakon lain,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Ieda muncul menerusi drama romantik komedi Ate Kome, I Love You! terbitan Viu arahan Helmi Yusof, bergandingan bersama Aniq Suhair, Bella Dowanna, Amy Mastura dan Nurel Baharin.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Filem Ini Sebelum Kahwin’ – Mimi Lana Jawab Banyak Babak ‘Daring’

0
KUALA LUMPUR – Banyak adegan romantik dan bersentuhan dengan aktor Indonesia, Adipati Dolken dalam filem Mojoku Hilang!, pelakon Mimi Lana menegaskan babak tersebut dirakam...

CATEGORIES