KUALA LUMPUR – Pengasas yang juga pemain gitar Kangen Band, Dodhy Hardiyanto mengumumkan pembubaran kumpulan asal Indonesia terbabit selepas 20 tahun berada dalam industri sejak 2005.
Berita mengejutkan itu dikongsi Dodhy pada hantaran dimuat naik di Instagram (IG) selain turut tidak mengizinkan lagu-lagu ciptaannya dinyanyikan oleh kumpulan berkenaan.
“Bismillah, saya dalam sedar menyatakan Kangen Band bubar dikeranakan ada kezaliman di dalamnya.
“Saya selaku pemilik dan pengasas Kangen Band sudah menyimpan rasa sakit ini sekian lama. Untuk ahli kumpulan terlibat dan penganjur acara (EO) dilarang sama sekali membawa lagu-lagu ciptaan saya,” tulisnya.
Pada masa sama, Dodhy juga didapati menutup ruang komen pada hantaran dibuat sekali gus menunjukkan dia enggan memanjangkan cerita.
Kangen Band ditubuhkan pada 4 Julai 2005 dan turut dikenali di Malaysia dengan lagu popular ciptaan Dodhy seperti Tentang Aku, Kau dan Dia, Selingkuh, Yolanda serta Tentang Bintang.
Selain Dodhy, anggota lain Kangen Band ialah Andika Mahesa, Eren Hill, Tama, Bebe dan Izzy.
Sumber – KOSMO! ONLINE





