Tuesday, May 19, 2026
HomeHIBURANHael Husaini Persembah Dua Single Terbaharu: "Peluk" & "Alangkah"

Hael Husaini Persembah Dua Single Terbaharu: “Peluk” & “Alangkah”

KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2025 – Meniti perjalanan seninya dengan penuh kejujuran, penyanyi, komposer serta storyteller terkenal tanah air, Hael Husaini kembali menyentuh hati peminat dengan pelancaran dua buah single terbaharu berjudul “Peluk” (duet bersama Nadeera), dan “Alangkah”, terbitan Rocketfuel Entertainment. Kedua-dua karya ini membawa pendengar menyelami pelbagai sisi cinta — daripada kerinduan yang manis hingga rintihan penuh melankolia — dan kini dipilih sebagai original soundtrack (OST) untuk dua drama bersiri Astro yang sedang hangat diperkatakan.

“Peluk” – Balada Romantis LDR

Lagu ini mengangkat tema hubungan jarak jauh atau LDR (long distance relationship), tentang rindu yang tidak pernah padam dan harapan untuk kembali bertemu insan tersayang. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema drama bersiri Astro “Mandul Bukan Pilihan” lakonan Hun Haqeem, Mira Filzah dan Ayda Jebat.

Bagi Hael, Peluk adalah sebuah karya yang dekat dengan hatinya kerana ia menyentuh realiti ramai pasangan hari ini.

“Saya percaya ramai yang melalui fasa hubungan LDR, tidak kira kerana kerja, pelajaran ataupun keadaan hidup. Lagu ini saya tulis sebagai bingkisan rasa rindu, dan saya mahu ia menjadi teman buat sesiapa yang merasainya. Bagi saya, kadang-kadang rindu itu pahit, tapi dalamnya tetap ada keindahan,” jelas Hael.

Lebih istimewa, Peluk menyaksikan gandingan semula Hael dan Nadeera, selepas kejayaan lagu Raya viral mereka, “Meriah Lain Macam”.

“Saya senang bekerja dengan Nadeera. Dia seorang penyanyi yang sangat jujur dalam menyampaikan emosi. Bila saya dengar vokal beliau dalam lagu ini, saya yakin Peluk menjadi lebih hidup, dan lebih manis. Gandingan kami saling melengkapi,” ujar Hael.

Nadeera sendiri mengakui peluang untuk berduet dengan Hael sekali lagi adalah pengalaman berharga:

“Saya sangat bersyukur bila Hael mengajak saya untuk sama-sama menjayakan Peluk. Bagi saya, lagu ini bukan sekadar tentang cinta jarak jauh, tapi tentang kasih yang tetap utuh walaupun diuji. Hael banyak memberi tunjuk ajar, dan saya rasa sangat bertuah kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk menyumbangkan suara dalam karya seindah ini,” kata Nadeera.

“Alangkah” – Keindahan Cinta Paling Dalam

Jika Peluk membawa kehangatan rindu, single Alangkah pula mengetengahkan sisi yang lebih melankolik. Lagu ini pula dipilih sebagai OST drama bersiri “Thariq Ridzwan” yang dibintangi Meerqeen dan Qasrina Karim.

Alangkah menggambarkan rasa cinta mendalam terhadap seseorang, disulami persoalan penuh harapan —

“alangkah baik jika takdir berpihak padaku…”

“Saya hasilkan lagu ini ketika saya sendiri melihat pengalaman orang-orang yang terdekat dengan saya. Ada cinta yang mereka mahu, tapi tidak semua berakhir seperti yang diimpikan. Lagu ini saya tulis dengan hati terbuka, kerana saya percaya dalam setiap kepedihan ada sesuatu yang indah untuk dikenang. Itulah mesej yang saya mahu sampaikan,” kata Hael.

Melodi balada yang “galau” ini menonjolkan sisi reflektif Hael sebagai seorang pengkarya yangsentiasa mencari keseimbangan antara keindahan dan kesedihan dalam muziknya.

Dari Pentas Konsert Ke Platform Digital

Menariknya, kedua-dua lagu ini pada asalnya dirancang untuk dimuatkan dalam album sambungan Hael, “Antonim: Part II”. Namun, selepas diperdengarkan secara eksklusif buat pertama kali ketika konsert “Hael Husaini & Repertoire” baharu-baharu ini, permintaan daripada peminat begitu tinggi sehingga Rocketfuel Entertainment akhirnya membuat keputusan untuk melancarkannya lebih awal sebagai single digital.

“Saya masih ingat saat saya nyanyikan kedua-dua lagu ini di konsert. Ramai peminat terus bertanya bila ia akan dilancarkan. Itu antara momen yang membuat saya rasa betapa pentingnya muzik saya untuk mereka. Saya bukan sekadar hendak keluarkan lagu, tapi saya mahu berkongsi sesuatu yang benar-benar bermakna untuk pendengar. Jadi bila peminat minta, saya rasa itu tanggungjawab saya untuk tunaikannya,” jelas Hael.

Harapan Hael Husaini

Dengan pelancaran dua karya ini, Hael berharap agar pendengar dapat menemui diri mereka dalam bait-bait lirik dan melodinya.

“Bagi saya, muzik adalah cerminan hati. Peluk mungkin jadi penguat untuk mereka yang merindui, sementara Alangkah pula jadi peneman untuk mereka yang LDR. Saya harap kedua-dua lagu ini dapat menemani orang ramai dalam perjalanan hidup mereka. Jika lagu-lagu ini mampu menjadi sebahagian daripada cerita mereka, itu sudah cukup membahagiakan saya,” ujar Hael tersenyum.

Kini Di Semua Platform Digital

Single “Peluk” bersama Nadeera dan “Alangkah” kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti di Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala, video muzik rasmi bagi kedua-dua lagu ini masih dalam pembikinan dan dijangka menemui penonton dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Autotune’ Bukan Mencacatkan Tetapi Mencantikkan – Kmy Kimo

0
PETALING JAYA: Ketika penggunaan teknik pelarasan suara, ‘autotune’ masih diperdebatkan dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, Kmy Kmo berpendapat bahawa teknik tersebut memainkan peranan...

CATEGORIES