KUALA LUMPUR – Penyanyi Nabila Razali menjelaskan tindakannya mendedahkan wajah anak di media sosial bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya atas keputusan sendiri bersempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, perkongsian itu juga dibuat sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai status dirinya yang kini sudah bergelar seorang isteri dan ibu.
“Bila saya ‘post’ itu, maksudnya memang saya nak ‘post’. Bukannya saya saja-saja dedahkan muka anak saya sebab ketika itu adalah cuti umum dan kita baru sahaja sambut Hari Kemerdekaan.
“Jadi, saya anggap dalam media sosial saya itu, ada masa kita tunjuk kita bekerja, ada masa kita tunjuk yang saya ini sudah berkahwin dan ada anak. Saya pun tak hendak orang melupakan status saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Katanya, pilihan untuk memuat naik hantaran mengenai anaknya terletak pada dirinya kerana setiap hantaran yang dimuat naik adalah atas kehendak sendiri.
“Sebab kadang-kadang ada juga saya nampak komen, orang kata cakap, eh aku dah lupa dah yang dia ini sudah kahwin’.
“Kadang-kadang kita harus ingatkan juga orang yang saya sudah berkahwin. Tetapi sekiranya saya ‘post’, itu memang pilihan saya dan ia adalah hari biasa apabila saya meluangkan masa bersama keluarga saya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Nabila mengakui ada kalanya bahasa badan atau cara pergaulan orang ramai seolah-olah lupa mengenai statusnya yang kini seorang ibu dan isteri.
“Saya tengok bahasa badan, cara orang bercakap dengan kita, kadang-kadang mereka lupa saya sudah kahwin. Cara kita berborak sama dengan waktu kita sebelum berkahwin.
“Jadi, mungkin dengan hantaran itu dapat memperingatkan orang-orang di sekeliling saya atau orang yang baru nak mengenali saya, yang tak ‘follow’ tahu bahawa saya sudah berkahwin.
“Saya rasa macam mana pun, saya hargai keluarga saya, saya hormati suami saya dan tahu saya ada anak. Jadi, sekali-sekala, kita kena tunjuk juga yang kita ini berkeluarga,” katanya.
Nabila mendirikan rumah tangga bersama Nik Iruwan Nik Izani di Bukit Tinggi, Pahang pada November 2023 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Nik Muhammad, yang kini berusia setahun lapan bulan.
Sumber – Berita Harian





