NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin, suami dan empat lagi rakan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini hari ini.
Eda Ezrin, suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis pil kuda.
Bagaimanapun, kesemua mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Keputusan itu diputuskan oleh panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut pada bulan lalu.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira turut didenda dengan jumlah yang sama selepas mereka sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga tidak perlu membayar denda itu kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.
Menurutnya, selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.
“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang daripada peguam keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, Eda Ezrin, suami dan enam rakannya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda
Menurutnya, bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
Sebelum ini, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah, namun tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini.
Semasa prosiding perbicaraan pada 14 Februari lalu, Eda Ezrin memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa bahawa terdapat empat individu dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik masuk ke dalam biliknya sebelum polis melakukan serbuan.
“Pada awalnya, Nabila dan Mek Ju masuk ke bilik saya kira-kira pukul 3 pagi. Selepas berbual, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit.
“Saya nampak Mek Ju bawa beg galas berwarna biru semasa masuk ke dalam bilik air. Selepas itu, Nabila dan Mek Ju keluar dan meninggalkan bilik saya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam.
Eda Ezrin dalam keterangannya turut berkata, dua lagi individu yang dikenali sebagai Sirik dan Mek Da masuk ke dalam biliknya tidak lama selepas itu.
Menurutnya, dia melihat Mek Da masuk ke dalam bilik air manakala Sirik berbual-bual dengannya.
“Selepas Mek Da keluar dari bilik air, dia dan Sirik terus meninggal bilik saya. Kira-kira 10 minit kemudian, polis terus menyerbu bilik saya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin merupakan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama 6,059 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.
Mereka ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Mahkamah Wilayah Narathiwat kemudian memerintahkan tahanan reman sehingga tiga bulan atau 84 hari ke atas Eda, Mohd. Affendi, Eridieka, Mohamad Alif, Nur Aida, dan Zuhaira.
Sumber – KOSMO! ONLINE





