Tuesday, September 8, 2026
HomeHIBURAN‘Dunia Lakonan Penuh Kepura-Puraan, Kadang-Kadang Malu’ - Tiz Zaqyah

‘Dunia Lakonan Penuh Kepura-Puraan, Kadang-Kadang Malu’ – Tiz Zaqyah

PETALING JAYA – Aktres Tiz Zaqyah mengakui pernah berasa malu dengan gelaran ‘pelakon’ selepas berdepan realiti pahit dunia hiburan, termasuk tekanan mengejar populariti serta tuntutan untuk sentiasa memenuhi kehendak industri.

Ujar Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 38, pengalaman dua dekad bergelar anak seni membuatkannya lebih memahami sisi dunia lakonan tidak semestinya seindah dipaparkan kepada khalayak.

“Kadang-kadang saya malu dengan gelaran ‘pelakon’. Di mana letaknya penghormatan sebagai seorang pelakon? Saya sering mempersoalkannya kerana kita didesak dan dihukum hanya kerana memilih untuk hadir serta bekerja.

“Mereka terlalu mengejar status dan populariti sehingga jiwa menjadi kosong tanpa warna. Saya pernah rasa segala warna dalam diri dilucutkan, seolah-olah perlu mengikut barisan tertentu hanya untuk terus bertahan.

“Dunia lakonan terasa penuh kepura-puraan. Manusia datang dengan pelbagai wajah serta niat sepeti persembahan palsu dan saya hanya perlu hadir, terus bekerja, walaupun semuanya cukup meletihkan,” katanya dalam Instagram.

Bagaimanapun, bintang filem Khawarij itu memilih untuk tidak terus terperangkap dalam kekecewaan, sebaliknya mensyukuri perjalanan seni serta bakat dianugerahkan kepadanya.

“Tetapi saya bersyukur dengan anugerah diberikan Allah. Inilah perjalanan saya dan saya akan terus melakukan sebaik mungkin.

“Saya belajar menerima kelebihan diri sendiri kerana tidak semua orang mampu memahaminya. Saya perlu menjadi lebih besar daripada permainan ini.

“Walau apa pun berlaku, Allah Maha Memberi dan segala-galanya sudah tertulis. Alhamdulillah, saya masih berada di sini sebagai manusia serta insan yang sentiasa mahu memberi,” ujarnya.

Paling penting kata Tiz, kecenderungannya terhadap seni sudah wujud sebelum dirinya mengenali dunia lakonan, malah pernah menganggap dunia lukisan sebagai ruang paling bebas untuk mengekspresikan emosi.

“Sebelum berlakon, saya dilahirkan sebagai seorang pelukis. Saya teliti setiap titisan air mata. Baris demi baris saya bina impian, setiap garis menjadi penentu emosi.

“Realiti dan fantasi, saya cintakan kedua-dua dunia itu. Hitam putih kehidupan juga saya terjemahkan menerusi karya. Saya menulis alam fantasi sendiri tanpa gangguan.

“Ada ketika saya penat apabila sering diberitahu apa perlu dilakukan, sedangkan jiwa saya berkata sebaliknya. Kalau mahukan kebenaran, saya akan berikan kebenaran,” tegasnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk peminat memberikan sokongan terhadap keterbukaan Tiz berkongsi sisi getir perjalanan sebagai anak seni.

Rata-rata menyifatkan luahan berkenaan sebagai gambaran realiti industri hiburan daripada perspektif seorang pelakon, selain memuji keberaniannya menyuarakan perkara jarang dibincangkan secara terbuka.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen berpendapat seseorang artis perlu bersedia menerima tuntutan serta tekanan industri sekiranya memilih untuk kekal berada dalam dunia hiburan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

6 Pendaki Hilang Di Gunung Gerah Dibawa Keluar , Terima Rawatan

0
GERIK - Kesemua enam pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah berjaya dibawa keluar ke Pengkalan Trojan pada jam...

CATEGORIES