PETALING JAYA: Pelawak, Achey mengingatkan penggiat industri komedi supaya sentiasa menjaga batas serta garis panduan dalam setiap bahan jenaka yang dipersembahkan agar tidak mengguris perasaan mana-mana pihak.
Menurut Achey, kebebasan berkarya bukan bermakna seseorang pelawak boleh mempermainkan semua perkara tanpa mengambil kira situasi dan penerimaan masyarakat atau individu tertentu
“Bagi saya, semuanya bergantung kepada situasi. Kalau kita membawa sesuatu bahan dalam persembahan, kita perlu peka sama ada ia sesuai atau tidak.
“Kalau melibatkan individu tertentu atau menyentuh hal negara, elok dimaklumkan terlebih dahulu. Kita juga kena lihat sama ada perkara itu mempunyai unsur sensitiviti dalam kalangan penonton.
“Jika persembahan itu terbuka kepada umum, garis panduannya hampir sama seperti televisyen. Tetap ada peraturan.
“Tetapi kalau acara komedi itu diadakan secara tertutup, contohnya ‘stand-up comedy’ yang penontonnya membeli tiket khas dan telefon pun tidak dibenarkan digunakan, suasananya berbeza,” katanya.
Tambah Achey, seseorang pelawak perlu memahami karakter individu yang menjadi sasaran gurauan agar tidak menimbulkan salah faham atau rasa kurang senang.
Malah, anggota kumpulan Bocey itu menyifatkan gurauan yang baik ialah gurauan yang tahu di mana hendak bermula dan tahu bila perlu dihentikan, selain tidak seharusnya mengulangi jenaka yang sama sehingga keterlaluan.
“Mahu buat lawak kena pada tempatnya. Tak ada masalah kalau kita bergurau di atas pentas, tetapi jangan usik perkara yang sama berulang kali sehingga keterlaluan.
“Kalau kita rasa benda itu sudah menjadi isu atau orang yang kita usik tidak selesa, cepat-cepatlah minta maaf. Kita kena rendahkan diri. Tak salah pun meminta maaf. Jangan rasakan diri kita sentiasa betul walaupun dalam komedi ini tiada salah atau betulnya.
“Itu juga apa yang sering kumpulan Bocey lakukan setiap kali selesai membuat lawak di atas pentas. Kami akan pastikan individu yang dijadikan bahan komedi itu tidak terasa hati. Malah kami sentiasa bersedia jika mereka membalas semula jenaka kami,” jelasnya.
Mengakui kreativiti pelawak zaman kini agak terhad dek kerana garis panduan yang telah ditetapkan sesebuah program, Achey tidak menafikan mereka perlu lebih peka terhadap perubahan sikap masyarakat yang semakin menitikberatkan soal adab dan sensitiviti.
“Sebelum kami membuat persembahan memang ada garis panduan yang menerangkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. ‘Body shaming’, warna kulit memang tidak dibenarkan.
“Kalau hendak mengusik sekalipun, kita kena tahu cara dan jangan biarkan gurauan itu tergantung tanpa penjelasan atau permohonan maaf. Komedi ini sebenarnya luas. Kalau terlalu banyak had dikenakan, komedi itu jadi sukar berkembang.
“Akhirnya komedi menjadi semakin terhad kerana lebih banyak bergantung kepada fakta dan kandungan yang bersih. Sebab itu kami juga perlu lebih bijak menghasilkan komedi dan penerimaan penonton juga penting,” ujarnya.
Terdahulu, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander berhubung dakwaan beliau disamakan dengan makhluk seram dalam satu persembahan komedi awal tahun ini.
Sumber – Utusan





