Thursday, June 25, 2026
HomeHIBURANAchey Risau Keselamatan Keluarga Selepas Isteri Rasai Gegaran Gempa

Achey Risau Keselamatan Keluarga Selepas Isteri Rasai Gegaran Gempa

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Achey Mohd Nasir Hamzah, 39, meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan ahli keluarganya di Segamat, Johor, selepas daerah tersebut dilaporkan mengalami gegaran yang dikaitkan dengan gempa bumi baru-baru ini.

Menurut Achey, situasi itu amat mengejutkan kerana Segamat bukan kawasan yang sinonim dengan kejadian seumpama itu.

“Saya terkejut juga apabila dengar berita ini. Sepanjang hidup saya, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di Segamat. Itu sebab saya sangat risau kerana ramai ahli keluarga saya berada di sana.

“Kebetulan isteri dan anak saya berada di kampung sejak beberapa hari lalu. Mereka baru sahaja sampai di rumah mentua saya yang terletak di hujung bandar Segamat.

“Isteri saya pun ada beritahu dia dapat rasa ada gegaran yang berlaku kali keempat kelmarin. Katanya tidak terlalu kuat, tetapi cukup menghairankan juga,” katanya..

Selain itu, Achey yang kini berada di Kahang, Kluang atas urusan kerja menjelaskan, dia juga bimbang kerana abang kandungnya sedang menerima rawatan di hospital selain terdapat beberapa ahli keluarga lain yang tidak sihat.

“Sebab itulah saya dan isteri berpecah. Dia balik kampung untuk uruskan apa yang perlu, manakala saya selesaikan kerja-kerja lain. Hati saya memang tidak tenang sebab ramai ahli keluarga masih di Segamat.

“Walaupun gegaran ini dikatakan kecil, saya rasa kita semua tidak boleh ambil mudah. Kalau ia berlaku berulang kali, kesannya boleh jadi serius terhadap struktur bangunan dan keselamatan orang ramai. Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Bagaimanapun, Achey berkata, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, semua pihak termasuk dirinya harus menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kita pun tak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana Segamat bukan kawasan yang sepatutnya mengalami gempa. Mungkin ada faktor struktur tanah atau perkara lain, jadi lebih baik kita tunggu penjelasan pihak jabatan berkaitan.

“Saya harap semua orang ikut arahan pihak berkuasa dan jangan panik. Yang penting, utamakan keselamatan keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, Achey berharap semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian ini dan sentiasa bersiap sedia.

“Saya rancang untuk balik Segamat hujung bulan ini bersama keluarga sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Setiap tahun kami memang akan pulang ke sana untuk sambut di Dataran Segamat. Harap semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

Terdahulu, gegaran gempa bumi lemah sekali lagi direkodkan di Segamat pada pagi ini, susulan kejadian gegaran yang berlaku hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, gempa bermagnitud 3.4 itu berlaku pada jam 4.24 pagi tadi.

Pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.

Ia kemudian disusuli gegaran kedua pada jam 9 pagi di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang, dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.

Sumber: UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Biar Orang Nak Kata Apa’ – Fatiya Latiff Tolak ‘Buat’ Semula...

0
PETALING JAYA – Pelakon Fatiya Latiff enggan tunduk dengan desakan segelintir netizen yang menyarankannya menjalani rawatan kecantikan di Korea Selatan, sebaliknya menegaskan bersyukur dengan...

CATEGORIES