ALOR SETAR, 31 Oktober- Polis sedang memburu seorang ahli perniagaan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran perniagaan rakan kongsi tidak wujud melibatkan kerugian mencecah RM1 juta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Syed Basri Syed Ali menerusi satu kenyataan berkata, suspek Mohamad Jaylani Sheikh Mohammad atau turut dikenali sebagai ‘Dato’ Mohamad’, berusia 44 tahun dan alamat terakhir di Taman Citra, Alor Setar, gagal dikesan hingga kini.
“Bahagian siasatan jenayah komersil IPD Kota Setar sedang menjalankan siasatan berkaitan lima laporan polis yang diterima berkenaan kes penipuan tawaran perniagaan rakan kongsi tidak wujud.
“Siasatan juga mendapati, individu berkenaan turut menggunakan gelaran Dato’ palsu. Usaha mengesan Mohamad Jaylani sedang giat dilakukan.
“Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat serta denda jika sabit kesalahan,”katanya.
Syed Basri turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi talian hotline IPD Kota Setar ditalian 04-7326999 atau mana-mana balai polis berhampiran.





