Tuesday, April 14, 2026
HomeBERITASubsidi Telur Bakal Disusun Semula Bermula 1 Ogos

Subsidi Telur Bakal Disusun Semula Bermula 1 Ogos

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI mengumumkan penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuatkuasa 1 Ogos depan sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

Langkah ini diambil memastikan rakyat memperoleh akses kepada bekalan makanan asas yang mencukupi dan berkualiti selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif, pihak industri bersetuju memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga lebih rendah selain mendapatkan telur ayam pada harga berpatutan menerusi program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, penstrukturan semula ini bertujuan mengoptimumkan pengguna subsidi kerajaan dengan penjimatan yang diperoleh akan disalurkan semula kepada pelbagai program kesejahteraan rakyat di bawah nilai teras Malaysia MADANI.

Keputusan ini juga dibuat selepas mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.

Selain itu, untuk rekod, hampir RM2.5 bilion dibelanjakan bagi subsidi telur ayam antara Februari 2022 hingga Disember 2024, ketika negara berdepan krisis pandemik dan gangguan bekalan global.

Seiring penyusunan semula subsidi ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut akan mempertingkatkan pemantauan harga di pasaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang pencatutan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil.

Sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan bekalan dan harga telur ayam boleh disalurkan ke e-mel rasmi KPKM di pro@kpkm.gov.my atau menerusi hotline di 03-8000 8000.

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus mendengar suara rakyat dan merangka dasar yang memelihara kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Sayang Anak Remaja Berpada-Pada, Jangan Kecewa Nanti’

0
PETALING JAYA – Bersandarkan pengalaman, pelakon sensasi Abby Abadi berkongsi beberapa kesilapan dalam mendidik serta membesarkan anak yang sedang meningkat remaja. Pada masa sama, Abby...

CATEGORIES