PEKAN – Seorang wanita maut manakala tujuh termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 37 Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Ahad.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Temai di sini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 malam itu, suami mangsa, Muhammad Amirul Naim Ramli, 32, dan dua anak perempuan mereka, Aura Arabella, 12, serta Afia Annasya, 2, dilaporkan parah.

Menurutnya, pemandu sebuah lagi kenderaan, Kamsulzain Muhamad Zainudin, 50, bersama isteri, Rosmawati Amat, 50, dan dua anak mereka, Muqri Danish, 17, dan Rafie Rizq, 12, turut cedera.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan jenis Honda HR-V dipandu Kamsulzain dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Port Dickson manakala kereta Perodua Myvi dinaiki Nur Ezyyantie bersama keluarganya dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, Honda HR-V dipandu pekerja sebuah syarikat minyak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Myvi yang sedang bergerak lurus,” katanya.

Sumber – Sinar Harian





