Thursday, September 3, 2026
HomeBERITA'Saya Takut Feri Akan Karam'

‘Saya Takut Feri Akan Karam’

BUTTERWORTH – Seorang penumpang berdepan detik mencemaskan apabila feri yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kapal di perairan berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang , malam tadi.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaimi, 55, itu berkata, ketika kejadian dia berada di atas motosikal sebelum dikejutkan dengan jeritan penumpang lain.

“Saya baru hendak terlelap di atas motosikal apabila tiba-tiba terdengar orang menjerit. Saya kemudian nampak feri bertembung dengan kapal di bahagian hadapan.

“Saya takut feri akan karam, tetapi syukur tiada kejadian lebih buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya, malam tadi.

Suhaimi berkata dia sudah menggunakan perkhidmatan feri berkenaan untuk berulang-alik selama 24 tahun dan tidak menyangka perjalanan rutin itu bertukar menjadi pengalaman mencemaskan.

Sementara itu, seorang lagi penumpang yang hanya dikenali sebagai Amy Iyana, 23, berkata, dia sedang berdiri ketika pelanggaran berlaku sebelum terjatuh ke belakang dan mengalami kecederaan di kaki kiri.

“Saya sedang berdiri dan hendak duduk apabila feri tiba-tiba bertembung. Saya terjatuh ke belakang dan kaki kiri saya cedera.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku kerana berada di bahagian belakang feri,” katanya.

Amy ketika itu dalam perjalanan ke Gurun, Kedah, selepas berkunjung ke Pulau Pinang bersama keluarganya.

Seorang lagi penumpang yang hanya dikenali sebagai Azah, 48, berkata, dia bersama anak lelakinya berusia 12 tahun berada di kawasan penumpang motosikal ketika perlanggaran berlaku.

Menurutnya, anak lelakinya mengalami lebam di kepala akibat hentaman itu.

“Kami ke pulau untuk beriadah di pantai dan dalam perjalanan pulang ke Butterworth apabila kejadian berlaku.

“Syukur, tiada siapa yang cedera parah dan semuanya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi, berkata, 10 mangsa menerima rawatan di zon hijau hospital, manakala 11 lagi diberikan rawatan di lokasi kejadian.

Terdahulu, dilaporkan 21 penumpang cedera selepas feri Teluk Bahang bertembung dengan MV Mekar Jaya di perairan berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, perlanggaran berlaku antara kapal berkenaan dengan feri Teluk Bahang yang sedang dalam perjalanan menuju ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

 

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

EPL: Arsenal Sekat Pemain Ke Chelsea

0
LONDON – Arsenal tegas menolak permintaan Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain tengahnya, Martin Zubimendi pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup awal...

CATEGORIES