KAHERAH, 24 Oktober- Pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza dinasihatkan supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan adalah baik.
“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.
“Ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul. Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi mereka perlukan makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, mereka tidak makan.
“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir.
Sementara itu, mengenai bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar memberitahu kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Gaza.
“Saya sebut dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, kita minta keizinan kerajaan Mesir dan beliau telah memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada bulan sabit (Persatuan Bulan Sabit Merah) atau badan-bandan lain yang kita iktiraf,” katanya.





