IPOH: Seorang pemandu lori treler maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 366 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.36 malam sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River serta Bidor digerakkan ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, seorang mangsa lelaki berusia 40 tahun tersepit dalam kepala lori treler dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan kelindan lori membawa muatan paip, kedua-duanya berusia 28 tahun cedera ringan, manakala pemandu lori lima tan yang membawa muatan motosikal juga berusia 28 tahun, cedera di bahagian kaki.
“Pemandu dan penumpang MPV jenis Toyota Unser masing-masing berusia 37 dan 32 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sabarodzi berkata, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 1.09 pagi tadi.
Sementara itu, PLUS dalam kenyataan di laman Facebook malam tadi, berkata kemalangan itu menyebabkan kesesakan enam kilometer arah selatan, manakala empat kilometer arah utara dan semua lorong terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada pengalihan kenderaan terbabit.
Semua lorong hanya dibuka kepada kenderaan pada jam 3.47 pagi tadi.
– BERNAMA





