KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER 2023 – Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia – China yang ke-50 pada tahun 2024 dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 menjadi fokus utama dalam perbincangan di Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC).
Mesyuarat yang diketuai oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri pelancongan, Seni Dan Budaya turut dihadiri oleh Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, wakil agensi pelancongan negeri dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk bekerjasama dalam merancakkan lagi ekosistem pelancongan di Malaysia.
MOTAC sentiasa membuka peluang kepada Kerajaan Negeri untuk menyuarakan sebarang cadangan dan sokongan bagi menaiktaraf infrastruktur kawasan pelancongan termasuklah tapak warisan sejarah di negeri masing-masing.
Dengan perancangan pembangunan dan promosi jangka panjang yang ada, Exco Kerajaan Negeri akan terus berbincang dengan Ahli Dewan Negeri atau Ahli parlimen melalui penyertaan sekretariat VM2026 untuk merealisasikan apa yang telah dirangka.
Dalam masa yang sama, MOTAC menitikberatkan aspek keselamatan dalam industri pelancongan bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku yang boleh menjejaskan banyak pihak yang berkaitan termasuk imej negara.
Kewujudan aktiviti-aktiviti pelancongan yang baharu seperti penggunaan karavan, inap desa dan glamping telah membangkitkan satu cadangan untuk mewujudkan akta baharu bagi mengawal selia keselamatan peribadi dan harta benda sekaligus menjamin hak pelancong.
MOTAC yang kini juga sedang menjadi penggerak utama dalam projek penggambaran pelancongan dan pembangunan aplikasi mudah alih sebelum dilancarkan sepenuhnya pada kira-kira pertengahan bulan Januari tahun 2024.





