Temerloh: Ketika insan lain bergembira meraikan Aidilfitri, Muhammad Faiz Qudry Ridzuan pula menahan hiba mengenangkan ibu bapa dan adiknya yang sudah tiada.
Bapanya, Ridzuan Ahmad dijemput Ilahi pada 2014 akibat pneumonia atau radang paru-paru diikuti adik, Muhammad Fayyadh Qashti Ridzuan dan ibu, Zuraini Izhab @ Baharom yang meninggal dunia dua tahun kemudian (2016) dalam tempoh selang seminggu masing-masing akibat pneumonia dan asma.
Sejak itu, Muhammad Faiz Qudry, 18, tidak teruja menyambut Aidilfitri kerana sudah kehilangan insan tersayang dalam hidupnya.
Biarpun masih dapat beraya dengan ahli keluarga lain, Muhammad Faiz Qudry berkata, memori itu tidak sama dengan ketika ibu bapa dan adiknya masih ada.
“Tipu kalau tak sedih tapi saya tak boleh buat apa kerana ayah meninggal dunia waktu umur saya tujuh tahun…manakala umi dan adik ketika umur sembilan tahun.
“Jadi rasa ditinggalkan waktu itu kerana dulu balik sekolah dapat lihat umi dengan ayah dan peluk cium adik, tapi bila mereka tiada rasa lain sangat.
“Rindu dengan arwah adik kerana kami rapat kerana dua beradik saja tambahan dia pun orang kurang upaya (OKU) fizikal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Faiz Qudry berkata, sejak bapanya tiada, dia tinggal bersama datuk dan nenek di sini.
Menurut Muhammad Faiz Qudry, dia masih tinggal dengan mereka selepas ibu dan adiknya meninggal dunia cuma kini dengan nenek saja kerana datuknya sudah dijemput Ilahi dua tahun lalu.
“Ramadan tak rasa sangat tapi bila pagi raya memang sedih sebab ahli keluarga lain semua berkumpul jadi masa itulah nampak mereka peluk cium serta bergambar bersama.
“Biasanya, saya akan duduk jauh sedikit dan tengok mereka bergambar…mereka ajak juga saya bergambar sama tapi saya segan kerana tak sama rasanya.
“Sedih tapi saya senyum juga kerana hari raya kena gembira dan memang jadi rutin untuk ziarah kubur umi, ayah juga adik. Tahun ini pula beraya di Chenor, Pahang jadi lagi senang kerana kubur ahli keluarga di sana,” katanya.
Demi mengubat kerinduan, Muhammad Faiz Qudry melihat semula gambar lama dengan keluarganya masih disimpan di dalam telefon bimbitnya.
“Setiap kali tengok, saya termenung sampai menitis juga air mata sebab sedih.
“Saya kongsi di TikTok baru-baru ini pun kerana nak simpan senbagai kenangan dan sampaikan mesej kepada yang menonton untuk sedar betapa pentingnya keluarga.
“Selagi ada orang tua, ambil peluang berbuat baik, berbakti kepada mereka dan cipta kenangan sebanyak mungkin kerana saya sudah tak dapat rasa semua itu,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana mahu merealisasikan impiannya untuk bergelar pendidik.
Sumber – Harian Metro





