KUALA LUMPUR: Guru Bahasa Inggeris yang memuatnaik video memaparkan kononnya Zara Qairina Mahathir, 13, dimasukkan ke dalam mesin basuh, mengakui ia hanyalah sekadar ‘content’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata guru terbabit yang memuatnaik video terbabit sehingga tular di media sosial, membuat pengakuan itu selepas ditahan polis, baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan seperti itu kerana ia sudah mempengaruhi sebahagian rakyat Malaysia, sedangkan fakta yang dikemukakan adalah palsu.
Katanya, guru terbabit sudah ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kita tolak jika ada sentimen mainan politik dan spekulasi atau dakwaan jahat. Kita tahan seorang guru yang membuat ‘content’ di TikTok bahawa adik Zara dibunuh dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Bila kita soal siasat kenapa buat begitu? Jawabnya ‘saya hendak buat content sahaja. Tetapi ‘content’ itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat, di dalam dan luar dewan.
“Dia nak buat content dia kata. Tapi cara dia susun ayat seolah-olah begitulah punca kematian. Di sinilah saya nak sebut, kita tak boleh berdasar kepada sentimen dan emosi. Kita tangkap dan kalau peguam negara bersetuju akan tuduh,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution menegaskan keadilan dan kebenaran perlu berdasarkan kepada fakta dan proses undang-undang yang sah.
Beliau berkata, ia tidak boleh berlandaskan fakta separuh masak, tuduhan rambang atau sentimen emosi semata-mata.
Mengambil contoh sebuah video yang tular kononnya Zara Qairina mati akibat didera di dalam mesin basuh, ia adalah suatu bentuk tuduhan rambang yang mengaitkan sentimen emosi.
Sumber – Berita Harian





