KUALA LUMPUR: Kedutaan Palestin di Malaysia memuji tindakan kerajaan meletakkan isu Palestin sebagai teras dalam agenda ASEAN dari segi hak menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara merdeka, berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Kenyataan itu berkata, melalui pendirian berprinsip itu, Malaysia terus berperanan penting dalam memajukan keadilan, mempertahankan hak sah dan mempromosi keamanan menyeluruh serta berkekalan di pentas antarabangsa.
“Kedutaan memuji Malaysia kerana meletakkan isu Palestin sebagai teras agenda ASEAN dan mengesahkan semula sokongan bersejarah tanpa berbelah-bahagi untuk hak yang tidak boleh dipisahkan rakyat Palestin,” katanya di sini, hari ini.
Pihak kedutaan turut menzahirkan penghargaan mendalam terhadap kepimpinan Malaysia yang berinspirasi dan berwawasan sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Katanya, tindakan itu meninggalkan kesan transformatif mendalam di peringkat serantau, seluruh dunia Islam dan pentas antarabangsa.
“Pendirian Malaysia yang teguh dan berprinsip terhadap isu serantau dan global, disertai pendekatan diplomasi yang inklusif dan berpandangan jauh, berjaya mengangkat kedudukan ASEAN di peringkat global serta memperkukuh kerjasama pelbagai hala,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Malaysia bersedia menyertai Misi Pengaman PBB ke Gaza bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memuji dasar luar Malaysia yang konsisten dan tidak berat sebelah dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Guterres dilaporkan berkata, Malaysia sentiasa memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan menubuhkan negara sendiri.
Sumber – Berita Haria





