MELAKA – Seorang pegawai penjara wanita maut dalam keadaan menyayat hati selepas digilis sebuah lori pembancuh simen dalam kemalangan di Lebuh SPA, Sungai Udang dekat sini, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, mangsa, Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang bertugas sebagai Sarjan Penjara di Penjara Dusun Dato’ Murad, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kaki, muka dan beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori pembancuh simen dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari Bukit Rambai menuju ke Masjid Tanah.
“Setibanya di lokasi, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengelak ke bahu jalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis oleh kenderaan berat tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk ujian darah bagi pengesanan alkohol selepas keputusan ujian urin negatif dadah.
“Kenderaan lori juga telah ditahan untuk siasatan lanjut termasuk pemeriksaan teknikal di Puspakom,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber – KOSMO! ONLINE





