Friday, October 30, 2026
HomeBERITAKomunikasi Terhad di Iran, Rakyat Malaysia Guna Cara Lama Hubungi Keluarga

Komunikasi Terhad di Iran, Rakyat Malaysia Guna Cara Lama Hubungi Keluarga

SEPANG: Ketika ketegangan memuncak di Iran susulan serangan balas oleh Israel, penduduk di negara itu terpaksa bergantung kepada kaedah komunikasi lama seperti sistem pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan ahli keluarga dan pihak berkepentingan.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, berkata ia susulan perkhidmatan perayauan serta penggunaan aplikasi WhatsApp di negara itu telah disekat ketika ini.

“Di Iran, komunikasi SMS terbuka antara nombor telefon Iran sendiri. Jadi, di peringkat nasional masih boleh berhubung, cuma kalau kita nak hubungi dari sini ke nombor Iran, tidak dapat kerana perkhidmatan perayauan ditutup.

“Kalau dari Iran, untuk panggilan keluar, boleh. Jadi kita gunakan cara lama (seperti) mesej teks yang tak ramai guna sekarang. WhatsApp semua memang tidak boleh digunakan, tapi saya rasa sudah mula ada kembali, namun dikawal sepenuhnya.

“Ia untuk pastikan maklumat berkaitan isu keselamatan tidak didedahkan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di tanah air malam tadi bersama 24 individu yang dibawa keluar dari Iran.

Kumpulan berkenaan terdiri 17 rakyat Malaysia, enam tanggungan warganegara Iran serta seorang warganegara Singapura.

Khairi berkata, situasi di Iran sangat tidak menentu, terutama pada awal serangan, menyebabkan rakyat asing dan tempatan sama-sama terkejut dengan serangan yang disifatkan begitu drastik.

“Selepas sehari dua, kita nampak rutin (serangan) macam mana. Seperti di sebelah malam serangan antara kedua-dua pihak agak dahsyat, tapi di sebelah siang, nampak macam mereka sepakat pula untuk kurangkan serangan.

“Macam yang kita semua tahu, sasarannya pun dikenal pasti dan kalau serangan menyasarkan kemudahan tertentu, di pihak satu lagi pun akan buat (serangan) sama. Jadi, ada bentuk serangan yang kita boleh nampak.

“Walaupun demikian, suasana itu memang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, kerana jika berada di tempat dan waktu yang salah, seseorang mungkin terjebak dalam situasi tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengarahkan penutupan sementara operasi Kedutaan Malaysia di Iran serta meminta semua petugas kedutaan di negara bergolak itu untuk segera pulang ke tanah air.

Sementara itu, seorang peniaga Fadhil Yusni, 33, bersyukur dapat bersatu kembali dengan isterinya warga Iran, Zainab Ganood yang terkandas di negara itu ketika pulang melawat ibu bapanya.

“Sepanjang konflik, saya panik sebab tak dapat berhubung dengan isteri. Alhamdulillah malam ini saya rasa bersyukur, terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Luar yang membawa keluar isteri saya dari Iran,” katanya.

Menurut Fadhil, dia kini sedang mencari jalan terbaik untuk membawa keluar ahli keluarga isterinya yang masih berada di negara sedang bergolak itu.

Ketegangan di Iran tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Empat Premis Perniagaan Dikendali Warga Asing Diarah Tutup Di Timur Laut

0
GEORGETOWN – Empat premis perniagaan di daerah Timur Laut, kelmarin, dikenakan tindakan penutupan (seal-off) selepas didapati dikendalikan oleh warga asing. Tindakan itu menerusi Op Tegas...

CATEGORIES