KUALA LUMPUR: Kegiatan judi dalam talian kini menjadi barah dalam masyarakat dengan lebih membimbangka golongan muda juga mula berjinak-jinak dalam hal yang haram ini.
Sindiket juga menggunakan sentimen masalah ekonomi dan tekanan hidup untuk menarik mangsa khususnya orang Melayu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata sindiket judi dalam talian menjanjikan penyelesaian masalah kewangan untuk memperdaya mangsa.
“Mereka menjanjikan keuntungan mudah dan pantas, kononnya boleh menyelesaikan segala masalah hidup. Malangnya, ramai yang terjebak tanpa sedar bahawa ini adalah perangkap.
“Mereka yang ketagih judi bukan sahaja merosakkan kehidupan sendiri, malah ahli keluarga turut terpalit selain boleh menjadi ‘barah’ jika tidak ditangani segera,” katanya ketika dihubungi.
Nadzim berkata aktiviti judi secara atas talian sangat mudah diakses dan sindiket didakwa ada menyediakan modal permulaan untuk menarik lebih ramai pemain.
“Masalah ini memerlukan tindakan tegas daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk menjadikannya satu kesalahan yang serius dan berat.
“Kempen kesedaran perlu dibuat secara berterusan, selain hukuman lebih berat perlu dikenakan untuk menghapuskan kegiatan haram ini,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan media Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memberi fokus kepada isu jenayah dalam talian seperti pedofilia, scam dan judi.
Beliau berkata, bermula 11 Februari lepas, hukuman lebih berat telah dikuatkuasakan bagi beberapa kesalahan seperti yang diluluskan di Parlimen pada Disember lepas.
“Ada beberapa perkara yang kini ditakrifkan sebagai kalau dahulu dipanggil jelik, kini dipanggil jelik melampau yang lebih khusus, tidak terlalu luas seperti dulu.
“Dalam pindaan ada dimasukkan huraian-huraian yang boleh digunakan untuk hujah bagi pihak pembelaan atau pun pendakwaan di mahkamah… jadi ia lebih terang, lebih jelas, lebih khusus (dan) tidak boleh disalahgunakan seperti dulu,” katanya.





