SEPANG: Kumpulan 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia yang berjaya dievakuasi dari Iran terpaksa melalui laluan darat hampir 1,000 kilometer dengan perjalanan keseluruhan 24 jam tanpa henti sebelum tiba di negara ini, malam tadi.
Menceritakan mengenai perjalanan yang penuh berisiko kesan konflik Israel-Iran, Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, kumpulan itu menggunakan laluan ke timur bagi mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai zon konflik ekoran daripada konflik Israel – Iran.
“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datang dari arah barat. Alhamdulillah, kita terima kerjasama baik daripada kerajaan Turkmenistan yang membenarkan rakyat asing untuk melalui sempadan.
“Ramai juga warga asing lain yang cuba keluar serentak, jadi kita terpaksa bersabar kerana proses pelepasan di sempadan agak panjang.
“Perjalanan kami membabitkan laluan darat hampir 1,000 kilometer untuk keluar dari Tehran sebelum tiba di sempadan Iran–Turkmenistan,” katanya pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kumpulan 24 individu yang berjaya dievakuasi dari Iran.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Ashgabat sebelum menaiki pesawat ke Bangkok dan seterusnya tiba di KLIA kira-kira jam 10.50 malam tadi.
“Kami berada dalam perjalanan selama lebih 24 jam tanpa henti. Transit di Bangkok tengah hari tadi, dan akhirnya selamat tiba di KLIA,” katanya.
Mengulas situasi komunikasi, Khairi menjelaskan hubungan dengan rakyat Malaysia di Iran masih boleh dijalinkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara nombor tempatan.
“Kita cuba sebaik mungkin untuk kekal berhubung. Komunikasi antara nombor telefon Iran masih boleh digunakan, tapi ‘roaming’ (perayauan) antarabangsa memang tidak berfungsi.
“WhatsApp pula tidak dapat digunakan seperti biasa. Tapi nampaknya ia sudah mula berfungsi semula secara perlahan-lahan, walaupun masih dikawal pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, pihak kedutaan akan terus menyampaikan maklumat sahih kepada keluarga di tanah air supaya mereka mendapat perkembangan yang tepat.
Sementara itu, Khairi memaklumkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia masih berada di Iran dan usaha pemantauan terhadap keselamatan mereka sedang diteruskan oleh Wisma Putra.
Katanya, individu berkenaan berada di beberapa lokasi termasuk di Tehran dan Shiraz, membabitkan pelajar serta rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga tempatan.
“Kita jangkakan kira-kira 12 orang masih berada di sana. Tapi kita terus pantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
“Kita pastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan baik. Jika keadaan mengizinkan dan mereka memilih untuk keluar, kita akan bantu,” katanya.
Dalam kumpulan itu, seramai 17 adalah rakyat Malaysia. Enam lagi warga Iran yang mempunyai pertalian rapat dengan mereka, seorang lagi ialah warganegara Singapura.
Sumber – Berita Harian





