Sunday, May 31, 2026
HomeBERITAElak Guna Kebebasan Bersuara untuk Mengaibkan Pihak Lain

Elak Guna Kebebasan Bersuara untuk Mengaibkan Pihak Lain

Peguam muda, Muhammad Aidil Akmal Sharidan, tampil memberikan pandangannya berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang merakam percakapan Aliff Ahmad berhubung kenyataan yang dibuatnya di media sosial.

Menurut Muhammad Aidil Akmal, tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai batasan kebebasan bersuara di negara ini. 

Beliau berpendapat bahawa setiap individu berhak untuk menyuarakan pendapat dan pandangan, selagi tidak melanggar undang-undang atau mengandungi unsur fitnah.

“Orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dalam menyuarakan pendapat di media sosial, agar tidak terjerat dengan undang-undang yang sedia ada.

“Jika niat untuk memalukan seseorang, membina naratif menaikkan “pautan” atau menghasut orang ramai tanpa asas, wajar untuk pihak bertanggungjawab mengambil tindakan.

Jelasnya, Isu ini bukan soal menyekat kritikan atau menutup mulut rakyat tetapi menekankan tentang cara menyampaikan kritikan tersebut. 

“Jika benar ada kesalahan, ada saluran sah seperti SPRM dan institusi kehakiman. 

“Tapi jika menggunakan pendekatan “viral dulu, siasat kemudian”, maka kita yang sedang merosakkan asas kebebasan bersuara yang kita perjuangkan sendiri. Jangan salah guna suara untuk menghancurkan reputasi,” jelasnya. 

Terdapat perbezaan antara bertanya dan membuat tuduhan terbuka secara provokatif di media sosial. -Muhammad Aidil Akmal
Terdapat perbezaan antara bertanya dan membuat tuduhan terbuka secara provokatif di media sosial. -Muhammad Aidil Akmal

Beberapa hari ini, banyak pihak mengajukan persoalan mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad.

Siasatan itu didakwa dilakukan selepas Aliff memuat naik satu hantaran menyatakan hasrat untuk ‘scrut’ atau menyiasat latar belakang kewangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. 

Ramai juga berpendapat secara prinsipnya rakyat memiliki kebebasan dan berhak untuk bertanya kepada pemimpin.

Menerusi satu perkongsian dimuat naik Muhammad Aidil Akmal berkata, masyarakat perlu faham dalam sistem demokrasi matang ada garis pemisah antara bertanya dan membuat tuduhan terbuka secara provokatif di media sosial.

Tulisnya, lebih lagi apabila kandungan dimuat naik dibuat secara bersyarat membabitkan penyebaran beramai-ramai untuk mencapai sasaran sehingga 20,000 perkongsian.

“Satu kekeliruan timbul adalah andaian bahawa siasatan ini melibatkan isu 3R, kaum, agama dan raja.

“Perlu ditegaskan bahawa kes ini tiada berkait dengan 3R. Nurul Izzah bukan mewakili institusi raja, bukan lambang agama atau isu perkauman. 

“Isu 3R mungkin wujud dalam siasatan lain, tetapi tidak dalam kes ini. Maka, ia tidak wajar dicampur adukkan,” jelasnya.

Beliau juga berpendapat posting dilakukan Aliff dilihat seperti ugutan halus menerusi gaya penyampaian kandungan dimuat naik.

“Dalam bahasa mudah, kandungan dimuat naik berbunyi seperti jika ramai menyokong dirinya, dia (Aliff) akan buka aib Nurul Izzah.

“Tindakan itu tidak wajar untuk memulakan wacana awam atau mempersoalkan integriti seseorang. Lebih membimbangkan, ia mencetuskan budaya ‘trial by social media’ satu bentuk tekanan awam tidak adil sering kali disalahgunakan. 

“Kita tidak mahu sampai ke tahap di mana setiap kritikan dibuat dalam bentuk gertakan bersyarat untuk meraih perhatian atau pengaruh digital,” katanya lanjut. 

Selain itu, beliau juga menjawab kepada persoalan mengenai MCMC menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam siasatan. 

 Muhammad Aidil Akmal memberitahu, seksyen itu melarang penggunaan internet untuk menyampaikan kandungan jelik, mengganggu atau menyakitkan hati. 

“Gaya dan nada dalam hantaran Aliff mungkin berada dalam skop ini khususnya apabila ia dilihat boleh mencemarkan reputasi seseorang tanpa asas kukuh.

“Perlu faham, tindakan ini bukan bermaksud menutup ruang bersuara, tetapi mengimbangi antara kebebasan dan tanggungjawab. 

“MCMC bertindak sebelum perkara menjadi lebih parah dan ini adalah tindakan pencegahan, bukan pendakwaan muktamad,” ujarnya.

Katanya, akuan bersumpah (SD) dibuat Aliff hanyalah satu bentuk pengakuan, bukan bukti konklusif dan tidak menggantikan keperluan untuk siasatan lanjut. 

“Seperti mana-mana kes lain, pihak berkuasa tetap perlu mendapatkan bukti lain seperti sumber maklumat, mesej dan konteks lengkap sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sebagai rakyat, kita perlu terus mempertahankan hak untuk bersuara dan perlu sedar bahawa hak bersuara datang bersama tanggungjawab moral serta undang-undang,” ujarnya. 

tamat..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tamak? Kami Tak Kecil Hati, Ini Demi Kelangsungan’ – Awie

0
BUKAN tamak, kumpulan Wings sedia mengambil satu persatu tawaran persembahan dan konsert adalah atas permintaan ramai, sekali gus demi kelangsungan jenama band yang sudah...

CATEGORIES